Jurujual Kereta Diarah Bela Diri

Putrajaya – Pembebasan seorang jurujual kereta dibatalkan dan dia diarah membela diri terhadap pertuduhan membunuh eksekutif pemasaran, Chee Gaik Yap yang mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel, di kawasan perumahan elit Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah, lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Linton Albert, bersama Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Abdul Rahman Sebli sebulat suara membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Hakim kemudiannya memerintahkan Shahril Jaafar, 33 tahun, direman sementara menunggu perbicaraan bela dirinya di Mahkamah Tinggi di Alor Setar, Kedah, pada Ahad ini.

Shahril yang merupakan anak seorang kenamaan bergelar Datuk, didakwa membunuh Chee yang juga bekas penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), di kawasan perumahan itu, antara jam 5.30 petang, 14 Januari 2006 hingga jam 3.05 pagi keesokan harinya.

Ketika kejadian, Chee sedang berjoging bersama adik perempuannya di Kelab Cinta Sayang, sebelum dia diculik dan mayatnya dijumpai dalam semak berdekatan trek joging, dalam keadaan separuh bogel, sembilan jam kemudian, pada 15 Januari 2006.

Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar melepas dan membebaskan Shahril daripada pertuduhan membunuh Chee, selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Dalam prosiding hari ini, Awang Armadajaya berhujah, empat calitan air mani dan darah yang diambil daripada kemaluan mangsa, didapati 100 peratus sepadan DNA tertuduh, jadi adalah mustahil ada orang ketiga terbabit.

Tambahan, tegasnya, tindakan tertuduh melarikan diri ke Australia, tiga hari selepas DNA dia diambil, membayangkan dia bersalah dan cuba melarikan diri daripada sesuatu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.