Bekalan Air Di Lembah Klang Mula Pulih

Kuala Lumpur – Kira-kira 5.4 juta pengguna di tujuh kawasan sekitar Lembah Klang boleh menarik nafas lega, apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang kembali beroperasi sejak jam 8 pagi semalam.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Priscilla Alfred, berkata kebanyakan kawasan di Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor, mula mendapat bekalan air seperti biasa.

Menurutnya, sehingga jam 1 tengah hari tadi, 883 kawasan atau 91.2 peratus daripada 968 kawasan terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual itu, telah pulih sepenuhnya, manakala bakinya masih dalam proses pemulihan secara berperingkat.

“Bagaimanapun, bagi sesetengah kawasan tinggi, termasuklah kawasan di penghujung sistem bekalan air, bekalan air dijangka mengambil masa sehingga dua hari lagi untuk dipulihkan sepenuhnya.

“Bagi mengurangkan kesulitan pengguna, bekalan air melalui lori tangki terus digerakkan dari semasa ke semasa, bagi mengagihkan bekalan air kecemasan.

“Disebabkan jumlah kawasan terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual ini membabitkan wilayah dan kawasan yang besar, bantuan bekalan air menerusi lori-lori tangki dan tangki statik tidak dapat dipenuhi, kerana sumber terhad,” katanya.

Tambahnya lagi, keutamaan bantuan air kecemasan diberikan kepada pengguna kritikal, seperti hospital serta pusat dialisis, dan pengguna diminta menggunakan bekalan air kecemasan secara berhemah.

Pada masa sama, Syabas akan terus memantau keadaan itu dan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa melalui media massa.

Dia turut meminta orang ramai supaya bersabar, bagi membolehkan operator telefon menjawab panggilan mereka, susulan jumlah trafik panggilan amat tinggi daripada pengguna, berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini, menerusi talian bebas tol Syabas (PUSPEL 1-800-88-5252).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.