AMK Jangan Masuk Campur Urusan PAS – Syarhan Humaizi

Kuala Lumpur – Pemuda PAS Selangor kesal dengan tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang seolah-olah masuk campur dalam keputusan parti menggantungkan keahlian dua ADUN PAS Selangor.

Sehubungan itu ketuanya, Syarhan Humaizi Abdul Halim menggesa AMK menarik semula kenyataan yang dibuat pada Ahad lalu yang jelas tidak menghormati pendirian PAS yang mahu ahli-ahlinya taat kepada arahan pemimpin parti itu.

“Pemuda PAS Selangor ingin menegaskan bahawa AMK Selangor tidak perlu masuk campur urusan dalaman PAS. Ini jelas tidak menghormati semangat setia kawan yang dipupuk selama ini sejak persefahaman Pakatan Rakyat wujud.

“Ditambah lagi dengan apa yang berlaku tempoh hari dimana terdapatnya gerakan yang dilakukan oleh DAP yang berusaha gigih membela dua ADUN Selangor yang digantung selama setahun.

“Kami mengharapkan AMK Selangor menarik semula kenyataan mereka yag disiarkan dalam portal-portal berita versi internet bertarikh 12 Oktober 2014 yang bertajuk ‘AMK kesal dua adun barua digantung”, katanya melalui kenyataan media.

Naib Ketua AMK, Fahmi Fadzil dua hari lalu mempertikaikan keputusan penggantungan PAS terhadap Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Fahmi berkata, tindakan sokongan itu merupakan satu langkah demokratik dalam usaha merungkaikan masalah krisis jawatan nombor satu itu mengikut amalan dan kebiasaan yang berlandaskan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Pendirian AMK itu dibidas Syarhan dengan menyifatkan ia sebagai tidak tepat dan lari dari konteks disiplin parti dan aklak berjamaah.

“Kami menyokong penuh keputusan PAS Pusat yang sangat bertepatan dalam memperkukuhkan parti. Dua ADUN PAS itu jelas mengkhianati PAS dan tindakan mereka itu telah diterjemahkan dalam Muktamar PAS Pusat baru-baru ini.

“Kenyataan AMK sangat tidak berpijak kepada realiti, memalukan serta memperlekehkan usaha PAS mempertahankan kualiti dan ketaatan kepada arahan parti yang selama ini menjadi dokongan setiap ahli dalam PAS.

“AMK Selangor perlu perhalusi dengan cermat kata-kata yang boleh membina rakan politik. Bukan bertindak keanak-anakan membelasah rakan politik dengan mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju secara umum kerana setiap komponen Pakatan Rakyat punyai masalah tersendiri . Begitu juga dengan PKR yang popular dengan tindakan ‘sepakan tong undi’ setiap kali berlangsung mesyuarat agung pemilihan,” katanya lagi.

Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada Ahad lalu memutuskan untuk menggantung keahlian Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib) selama setahun.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, tindakan tatatertib itu diambil berdasarkan peruntukan Fasal 82 (6) Perlembagaan PAS.

Namun kedua-dua mereka berpeluang mengemukakan rayuan dalam tempoh 15 hari berkuatkuasa pada tarikh penggantungan tersebut.

Saari dan Hasnul sebelum ini bertindak melangkaui keputusan parti berhubung isu jawatan Menteri Besar Selangor.

Kedua-dua mereka bertindak menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor, sebelum parti mengeluarkan pendirian rasmi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.