KKB jadi anjakan agenda pembangunan di Sabah, Sarawak ke arah penambahbaikan – TPM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kembara Kenali Borneo (KKB) sewajarnya dijadikan anjakan serta batu loncatan bagi agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak ke arah penambahbaikan yang lebih baik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah berkata penambahbaikan antaranya dari segi ekonomi dan infrastruktur seperti jalan raya, pengangkutan darat mahupun laut, pendidikan, dan akses kepada kehidupan yang lebih baik untuk masa depan.

“Bersama-sama kita melaksanakan penilaian dan tindakan untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak, agar kemajuan juga dapat dicapai oleh negeri-negeri Borneo ini, serta memperkasa ekonomi sehingga setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia,” katanya, menerusi satu kenyataan media hari ini.

Untuk rekod, KKB diadakan buat julung kali bagi merealisasikan impian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak.

KKB selama 11 hari itu bermula 3 September lalu di KM 0 Tawau, Sabah dan berakhir di KM 0, Telok Melano, Sarawak pada 13 September dengan Yang di-Pertuan Agong memandu sendiri sejauh lebih 2,300 kilometer bagi menyantuni rakyat Sabah dan Sarawak.

Alhamdulillah berkat sokongan padu semua, KKB yang bermula di KM 0 Tawau, Sabah, dan berakhir semalam (13 Sept) di KM 0 Telok Melano, Sarawak, telah berjalan lancar dan jayanya.

“Kembara ini juga menonjolkan betapa seharusnya rakyat jelata dan Raja berpisah tiada,” katanya lagi.

Fadillah yang juga Menteri Penyelaras KKB, turut berterima kasih kepada kerajaan Sabah dan Sarawak serta rakyat di kedua-dua negeri yang telah bertungkus lumus menjayakan KKB.

Tambahnya lagi, rakyat pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak, bukan sahaja sanggup menunggu dari pagi sehingga ke tengah malam, malah sanggup berpanas dan berhujan, di tepi jalan di sepanjang laluan konvoi Yang di-Pertuan Agong.

“Mereka turut mengadakan pelbagai persembahan kebudayaan dan mengenakan pakaian tradisional kaum masing-masing secara sukarela serta sanggup memasang lampu telefon bimbit di kawasan gelap tanpa cahaya lampu jalan demi mengalu-alukan konvoi KKB,” katanya.

Malah ujarnya lagi, Raja Permaisuri Agong juga beberapa kali menitiskan airmata kerana terharu dan Yang di-Pertuan Agong dalam setiap titah pada majlis santapan malam sepanjang kembara, menzahirkan rasa terharu dan terima kasih Seri Padula atas sambutan luar biasa rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kembara ini pastinya akan meninggalkan kesan yang begitu membekas di hati rakyat, melihatkan bagaimana Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mendekati serta menyantuni rakyat jelata dengan penuh sederhana, tanpa sebarang protokol, berjiwa besar dan berjiwa rakyat, sekali gus turut menyelami kesusahan dan keperluan rakyat terutama di luar bandar,” katanya.

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat