Video: Tun M Sokong Anwar Tanding Di PD, Tapi Tak Turun Berkempen

Shuhaniza Said

PETALING JAYA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menyokong pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Ujar Mahathir, Anwar mempunyai hak untuk bertanding, namun beliau tidak akan turun berkempen untuk Presiden PKR itu. 

“Dia menelefon saya dari Hong Kong untuk beritahu. Itu haknya. Saya tak masuk campur dalam perkara itu.

“Saya beritahu Anwar, biasanya saya tak berkempen dalam pilihan raya kecil. Tetapi saya akan sokong pencalonannya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPBM di Menara Yayasan Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai reaksi sesetengah pihak yang membantah pengosongan kerusi Port Dickson, ini jawapan beliau.

“Sebolehnya kita perhatikan reaksi di media sosial dengan perkembangan semasa ini. Kita ambil perhatian semua ini kerana ia memberi kesan kepada parti dan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Segelintir pihak, termasuk netizen menganggap pengosongan kerusi itu merupakan satu pembaziran dan pengkhianatan kepada rakyat yang telah mengundi Datuk Danyal Balagopal Abdullah sebagai Ahli Parlimen pada PRU-14, Mei lalu.

Dalam pada itu ketika ditanya sama ada Anwar akan diberikan jawatan dalam kerajaan jika menang dalam PRK kelak, ujar Mahathir, pendirian itu sudahpun dijelaskan oleh pimpinan PKR sendiri.

“Sebenarnya (Setiausaha Agung PKR) Datuk Saifuddin Nasution telah mengeluarkan kenyataan bahawa apabila Anwar menang, bukan jika dia menang tetapi apabila dia menang, dia tidak akan meminta jawatan dalam kerajaan. Dia tidak meminta jawatan menteri dalam kerajaan,” ulasnya. 

Sebelum ini wujud spekulasi mengatakan Anwar akan menuntut jawatan jika berjaya kembali ke Parlimen, apatah lagi beliau diuar-uarkan akan menggalas jawatan Perdana Menteri menggantikan Mahathir.

Namun Mahathir berkata, beliau tidak akan memungkiri janji bersabit pencalonan Anwar sebagai penggantinya.

“Saya tidak akan mungkir. Kita semua setuju….tempohnya belum pasti. Saya sangat sedar usia saya 93 tahun,” kata beliau. -SuaraTv 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.