Video: Janji Manifesto Timbulkan Masalah, Kalau Laksana Negara Rugi – Tun M

Shuhaniza Said

PETALING JAYA – Sebahagian daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan dikaji semula, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ujar beliau, ini kerana kebanyakan daripada janji tersebut menimbulkan masalah dan sekiranya dilaksanakan, kerajaan akan menanggung kerugian yang amat besar.

“Kita juga beri perhatian tentang masalah yang dihadapi kerajaan sekarang atas apa yang telah dilakukan oleh kerajaan yang lepas.

“Kita dapati ada banyak masalah dan kita berpendapat bahawa sebahagian daripada janji kita dalam manifesto timbulkan banyak masalah.

“Kalau kita laksana, mungkin kita alami kerugian yang amat besar. Sebab itu kita perlu kajian.. kita (akan) beritahu kepada kerajaan PH untuk mengkaji semula janji-janji yang dibuat semasa kita percaya kita akan kalah, tapi sekarang ni kita menang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor di sini, petang tadi.

Sebelum PRU14, PH yang dianggotai PKR, DAP, PPBM dan Amanah melancarkan manifesto yang menjanjikan 10 perkara, terutama meringankan beban rakyat dalam masa 100 hari pertama pentadbiran, sekiranya berjaya membentuk kerajaan. 

Antaranya termasuklah menghapuskan GST dan mengurang kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat; menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar; menyamaratakan gaji minimum seluruh negara; penangguhan pembayaran semula PTPTN dan memperkenalkan KWSP untuk suri rumah.

Selain itu, manifesto yang bertemakan “membina negara memenuhi harapan”  itu turut menggariskan 60 janji untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun dan 5 iltizam.

Bagaimanapun, melepasi 100 hari pertama pentadbiran PH, hanya satu janji yang sudah ditunaikan iaitu penghapusan cukai GST. Kerajaan PH bermula 1 September melaksanakan cukai baru, cukai SST yang berkadar 16% bagi menggantikan cukai GST. -SuaraTv

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.