Tak Betul UMNO Terdesak

KUALA TERENGGANU: Pemuda UMNO menafikan dakwaan bahawa parti itu terdesak meraih sokongan rakyat selepas hilang kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sehingga terpaksa menjalin kerjasama dengan PAS .

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pada dasarnya UMNO sudah mula menjalin kerjasama dengan PAS sejak sebelum PRU-14, termasuk dalam beberapa isu membabitkan kepentingan Islam sedunia seperti Palestin dan Rohingya.

Beliau berkata, kehadiran pemimpin UMNO pada Muktamar Tahunan PAS buat pertama kali juga adalah satu konteks kerjasama untuk kebaikan umat Islam dan rakyat negara ini secara keseluruhannya.

Beliau turut tidak menafikan kehadiran UMNO pada muktamar PAS akan menyemarakkan hubungan dua parti yang mewakili Melayu dan Islam, sekali gus sebagai pengukuhan kepada blok pembangkang untuk mempunyai keserasian dan kesefahaman.

“Saya rasa tidak betul apabila ada yang kata UMNO hanya bersama PAS apabila sudah kalah, sebab kita sudah mulakan langkah kerjasama ini dalam banyak isu berkepentingan bersama, bincang isu Palestin, Rohingya dalam satu pentas, forum dan majlis lain, cuma kita mungkin tidak pernah bersama dalam perhimpunan seperti ini (muktamar).

“Saya rasa tidak ada salahnya. Esok belum kiamat. Kita mulakan persahabatan dan persaudaraan atas dasar Islam. Bermula dengan titik pertemuan hari ini, bukan soal politik yang harus kita utamakan, tetapi persaudaraan atas dasar Islam.

“Jangan ada sebarang salah tanggapan seolah-olah apabila dua parti besar yang mewakili orang Melayu Islam mula berbaik, ia memberikan isyarat yang tidak baik, seolah-olah akan menzalimi dan mendominasi agama dan bangsa lain, itu tidak akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-59 di Pulau Duyong di sini, hari ini, yang dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut hadir menyertai hampir 1,000 perwakilan Pemuda PAS ialah Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Timbalan Ketua, Khairil Nizam Khiruddin.

Asyraf Wajdi berkata, asas atas kerjasama itu adalah mengukuhkan tunjang dan akar negara serta Islam sebagai agama Persekutuan dan Melayu Bumiputera sebagai bangsa teras.

“Kalau akar ini dapat kita perkukuhkan, saya rasa kita dapat meneruskan kestabilan, keamanan dan keharmonian yang dicapai selama ini. Kita harus dilihat secara positif oleh semua pihak,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.