Shamsul Cadang Tangguh Pemilihan PKR, Tumpu PRK Port Dickson

KUALA LUMPUR — PKR disaran menangguhkan pemilihan parti bagi memastikan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Dalam kenyataan media semalam, Naib Presidennya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata penangguhan tersebut perlu demi “muafakat penuh” segenap lapisan anggota parti.

“Saya secara terbuka menggesa agar jawatankuasa pemilihan pusat PKR untuk menangguhkan proses pemilihan di semua peringkat dan diaktifkan semula hanya selepas PRK selesai,” katanya.

Timbalan menteri industri utama berkata perkara itu penting bagi menjamin keberadaan semua ahli parti untuk “berkubu” di Port Dickson tanpa menonjol atau mengecualikan sesiapa.

Di sebalik perbezaan pandangan, beliau berkata pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke Dewan Rakyat harus didukung seluruh ahli parti.

“Matlamat kita jelas: menyubur dan menghidupkan agenda reformasi ke arah mengisi Malaysia Baharu,” kata wakil rakyat Hang Tuah Jaya.

Shamsul sebelum ini bimbang berikutan parlimen tersebut “tidak sinonim” dengan ketua umum PKR terutama dalam meraih sokongan anggota tentera.

Kelamrin, penyandang Laksamana (B) Datuk Danyal Balagopal Abdullah membuat pengumuman untuk mengosongkan kerusi bagi membolehkan Anwar bertanding.

Sementara itu, tarikh pengundian pemilihan PKR tidak boleh ditangguh kerana ia akan menjejaskan peraturan yang telah ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti Datuk Rashid Din.

Beliau berkata ini kerana RoS telah menetapkan Kongres Nasional 2018 perlu diadakan pada November depan, lapor Bernama.

“Justeru, sebelum kongres itu berlangsung pemimpin perlu dipilih melalui pemilihan yang telah kita tetapkan pada 22 Sept hingga 28 Okt, kita tidak boleh lagi tunda tarikh ini kerana kita telahpun menundanya sebelum ini,” katanya kepada Bernama semalam. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.