Sebelum Ini Silap Titik Perpuluhan, Sekarang Lim Guan Eng Salah Tarikh Pula – Najib

PETALING JAYA – Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menegur Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kali ini kerana mengumumkan prestasi ringgit amat baik walaupun selepas bertukar kerajaan berdasarkan nilai dari akhir 2017.

Najib berkata Lim sudah membuat 2 kesilapan sebelum ini tetapi kesilapan kali ini “agak pelik”.

“Sebelum ini, beliau salah titik perpuluhan. Selepas itu, Guan Eng berkata dia salah faham tentang barang basah dan oleh itu telah ‘hantam’ cukai jualan 10% ke atas barang basah.

“Kini Guan Eng salah tarikh pula. Kerajaan tukar bukan pada akhir 2017 tetapi pada 9 Mei 2018,” katanya.

Semalam, Lim mengumumkan ringgit menunjukkan prestasi amat baik antara matawang utama dunia ketika menjawab ulasan Najib mengenai nilai matawang sekarang ini.

Najib sebelum itu berkata naik turun ringgit banyak bergantung kepada harga minyak dunia tetapi selepas 9 Mei matawang itu tidak mengukuh tetapi turun sehingga RM4.15 sekarang, walaupun harga minyak dunia naik kepada AS$78 satu tong.

“Sejak akhir 2017, nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat hanya menurun sebanyak 2.2% setakat 11 September 2018,” kata Lim.

Menteri berkata kekuatan relatif ringgit itu menunjukkan pelabur tempatan dan antarabangsa meyakini Malaysia “sungguhpun berlaku perubahan kerajaan”.

Najib akui nilai ringgit berbanding dolar AS mengukuh sebelum pilihan raya umum ke-14 tetapi lebih melemah sejak PRU14.

“Ringgit semakin lemah sehingga kini iaitu dari RM3.85 pada April sebelum PRU14 kepada RM4.15 pada masa ini.

“Berbanding dolar Singapura, ringgit menyusut dari RM2.94 kepada RM3.02 dan dengan Thai Baht dari 8.1 baht kepada 7.6 baht pada masa ini,” katanya.

Najib menggesa Lim mengambil perhatian kepada kebimbangannya dan mengambil langkah mencegah kemungkinan ringgit akan turun dengan lebih teruk lagi dan krisis ekonomi jika harga minyak dunia tiba-tiba turun dengan banyak “seperti yang berlaku pada 2015 dan 2016”.

“Guan Eng tidak sepatutnya bersikap defensif dengan mengeluarkan kenyataan menggunakan tarikh yang tidak betul untuk mengelirukan orang ramai,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.