Saya Tahu Siapa Yang Lari Semasa Reformasi 1998 – Azmin Ali

BUTTERWORTH – Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyelar pengkritik yang mengatakan beliau “tidak cukup reformis”, mendakwa beberapa individu ini menghilangkan diri di zaman kemuncak Reformasi pada 1998.

Pada perhimpunan di Perai semalam, Azmin berkata beberapa pengkritik itu lari ke luar negara kerana takutkan tindakan keras terhadap penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri.

“Saya tidak marah kepada orang-orang ini, tetapi geram lah juga. Saya boleh senaraikan siapa duduk di Jakarta 2 tahun, siapa duduk Australia 2 tahun, London 2 tahun. Dah selesai baru balik. Kemudian muncul… aku lah reformis.

“Kita kena tengok apa yang berlaku pada 1998… sekarang ini reformasi apa?

“Reformasi hari ini duduk dalam dewan yang berhawa dingin. Tetapi 1998 hingga 2000, berapa ramai dipukul, dihina di jalan raya. Ini bukan parti elit, parti ini bukan lahir di istana, parti ini lahir di jalan raya, berapa orang kena tembak, pijak, kena aib?”

Beliau juga memberi amaran kepada individu tersebut jangan cuba “hijack” agenda Reformasi dengan bersifat angkuh dan merasakan diri pandai.

“Dalam perjuangan nak jadi pemimpin, kita kena ada minda yang cerdas, kita juga mesti ada ‘humility’, kita kena hormati orang lain,” katanya.

Membandingkan agenda Reformasi dengan maraton, beliau berkata tidak ada jalan pintas.

“Kami mendapat orang baru dalam parti, tetapi kami tidak patut melupakan reformis kanan yang bekerja keras untuk mendapatkan tempat seperti hari ini.”

Azmin yang mempertahankan jawatannya menentang Naib Presiden Rafizi Ramli dalam pemilihan parti akan datang, turut menolak dakwaan beliau tidak setia kepada Anwar.

Beliau berkata satu-satunya cara untuk menunjukkan kesetiaan kepada presiden adalah meneruskan Reformasi yang dipertahankan Anwar.

“Saya tidak payah cium tangan untuk buktikan kesetiaan saya kepada Anwar.

“Sebenarnya mereka tidak ada kekuatan sendiri, terpaksa bersandar kepada orang lain untuk dapat sokongan daripada ahli parti,” katanya.

Pada sidang akhbar selepas acara itu, Azmin ditanya pendapatnya tentang keputusan untuk meletakkan Anwar sebagai ahli parlimen di Port Dickson.

Beliau berkata tumpuannya adalah untuk memastikan kerusi itu kekal di tangan Pakatan Harapan, beliau berharap semua pemimpin bersatu dalam perkara penting di masa depan.

“Pandangan pemimpin ini adalah serius dan patut diberi perhatian supaya perkara itu dapat diselesaikan dengan semangat konsensus,” katanya.

“Kita tidak boleh melakukan kesilapan ini pada masa akan datang.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.