PRK PD: Lepas ni beri laluan kepada bapa saudara dan anak saudara, sindir PAS

SHAH ALAM – PAS mencadangkan peraturan berkaitan pilihan raya perlu digubal bagi mengelakkan mana-mana wakil rakyat sesuka hati meletak jawatan bagi memberi laluan kepada individu tertentu.

Timbalan Presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian mengulas mengenai pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson demi memberi laluan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding. 

Sambil menyindir, katanya jika dibiarkan berkemungkinan pada masa akan datang pengosongan kerusi dibuat sesuka hati tanpa sebab yang kukuh. 

“Kita harap kerajaan boleh gubal satu peraturan untuk menyekat mana-mana ahli Parlimen yang menang lompat parti

“Mungkin satu peraturan perlu digubal untuk ahli parlimen tidak semudah itu meletak jawatan. 

“Mungkin lepas ini nak beri laluan kepada bapa saudara, anak saudara yang akhirnya menjadi caca marba,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PASS ke-59 di Terengganu.

Beliau dalam masa yang sama berpendirian bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) di PD tidak perlu diadakan sementelah negara kini sedang mengalami masalah kewangan seperti yang sering diuar-uarkan kerajaan Pakatan Harapan semenjak memerintah. 

“Kita merasakan pilihan raya ini tidak ada keperluan untuk diadakan, pembaziran dalam keadaan negara mengalami masalah kewangan yang serius tiba-tiba kita nak adakan pilihan raya yang tidak ada keperluan.

“Bagi kita PRK ini perlu diadakan apabila berlaku kematian, bankrap dan sebagainya,” tambahnya. 

Semalam, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson berkuatkuasa serta merta bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.