Mahdzir Nafi Ada Kaitan Dengan 1MDB

ALOR SETAR Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan dirinya dan UMNO Bahagian Padang Terap pernah menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, beliau bukan 50 individu yang disebut pihak polis terbabit menerima menerima wang yang diseleweng daripada 1MDB.

“Saya menafikan menerima wang daripada 1MDB, malah UMNO Bahagian Padang Terap juga tiada kaitan dalam menerima dana itu,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pula, ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut mengenai isu penerimaan wang 1MDB.

“Minta maaf saya tak boleh nak komen takut salah bagi kenyataan lagipun saya sudah tiada apa-apa jawatan dalam UMNO,” katanya.

Usaha mendapatkan maklum balas Ahli Parlimen Baling yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, juga gagal kerana tidak dapat dihubungi.

NSTP semalam melaporkan sebanyak AS$972 juta atau RM2.973 bilion wang daripada 1MDB dikesan dimasukkan ke dalam akaun peribadi bank AmIslamic milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Transaksi kewangan berkenaan datangnya daripada tiga syarikat iaitu Good Star, AABAR dan Tanore yang berjaya dijejaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi siasatan dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata, polis juga mengenal pasti lebih 50 individu termasuk ahli politik dari dalam dan luar negara turut menerima wang yang diseleweng daripada 1MDB. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.