Langkah PD: Tun M OK, Pengkritik Jangan Sibuk

AYER KEROH – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melenting apabila tindakannya yang mahu bertanding di kerusi Port Dickson mendapat bantahan segelintir pihak. 

Ujar Anwar, rancangan tersebut dimaklumkan terlebih dahulu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum pengumuman mengenainya dilakukan.

Justeru, Anwar menyelar pihak yang tidak berpuas hati dan membangkitkan isu tersebut. 

“Dia (Mahathir) kata ‘OK’. Yang kamu (pengkritik) sibuk kenapa? Tak jadi masalah. Nak bangkitkan apa lagi?,” katanya ketika berucap di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka malam tadi.

Rabu lalu, penyandang kerusi Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan mengosongkan kerusinya bagi membuka laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.

Bagaimanapun, langkah tersebut mengundang kritikan ramai pihak termasuk daripada pimpinan PKR sendiri.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menyifatkan keputusan parti yang mengosongkan kerusi Port Dickson dilakukan tanpa mengikut saluran yang sepatutnya. 

Sementara itu, bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya juga menyelar keputusan parti yang disifatkannya ‘merancang secara rahsia’ kerana tidak melalui biro politik mahupun jawatankuasa pusat. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.