Kerusi Wan Azizah Atau Izzah Yang Patut ‘Dikorbankan’, Kata Ambiga

SHAH ALAM – Bukan sahaja dalam kalangan pemimpin PKR, sebaliknya isu pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson turut mengundang rasa tidak puas hati bekas Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Berkata kepada pemberita, Ambiga berpendapat sepatutnya isteri atau anak Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang harus mengosongkan kerusi mereka untuk memberi laluan kepada Presiden PKR itu.

“Saya tidak ada masalah jika Anwar mahu kembali. Dia berhak berbuat demikian.

“Tetapi pemahaman saya, dan saya percaya orang ramai juga mempunyai pemahaman sama, bahawa salah seorang ahli keluarganya sepatutnya menyerahkan kerusi mereka kepadanya.

“Pandangan peribadi saya, salah seoeang ahli keluarga harus berbuat demikian,” katanya dipetik Malaysiakini. 

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kini merupakan Ahli Parlimen Pandan, manakala anak Anwar, Nurul Izzah pula mengekalkan penguasaan PKR di kerusi Permatang Pauh. 

Tambah aktivis itu lagi, merancang agar sesuatu pilihan raya kecil (PRK) untuk diadakan adalah satu tindakan yang tidak wajar.

“Dia (Datuk Danyal Balagopal Abdullah) boleh tampil dan kata ‘saya tidak dipaksa’. Tetapi jelas, ada unsur paksaan atau apa sahaja yang kamu namakannya.

“Saya rasa tindakan merancang pilihan raya kecil harus dihentikan. Saya tidak faham mengapa perlu tergesa-gesa,” katanya lagi.

Danyal, seorang bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengosongkan kerusinya pada Rabu, bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan menyempurnakan proses untuk dilantik semula menganggotai Ahli Dewan Rakyat, sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.