Gaji Minimum Hanya Naik RM50 Keputusan Sukar, Tidak Bertujuan Rendahkan Pekerja – M.Kulasegaran

PUTRAJAYA — Kerajaan Pakatan Harapan komited terhadap agenda yang telah dijanjikan dalam manifestonya iaitu menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan dalam tempoh penggal pertama pentadbiran atau lima tahun, kata Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran.

Beliau berkata Pakatan Harapan telahpun memenuhi janji dengan melaksanakan gaji minumum yang standard di seluruh negara dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka, pada satu kadar yang ditetapkan RM1,050 berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Menurutnya, keputusan untuk meningkatkan hanya RM50 bagi pekerja di Semenanjung adalah satu keputusan yang sukar dan tidak bertujuan untuk merendahkan sumbangan pekerja terutamanya golongan B40.

“Ini bukanlah perjalanan yang terakhir untuk gaji minimum di Malaysia.

“Kami baru menjadi kerajaan selama empat bulan sahaja dan kami bertekad untuk memenuhi janji-janji yang dibuat dalam manifesto kami termasuk gaji minimum menjelang akhir tempoh pentadbiran kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai gaji minimum bagi sektor swasta.

Pada masa ini, gaji minimum Semenanjung Malaysia ialah RM1,000 manakala di Sabah dan Sarawak ia ditetapkan pada RM920.

Dalam isu gaji minimum ini Kulasegaran berkata majikan perlu bersedia untuk kenaikan gaji minimum di tahun-tahun yang akan datang.

“Berikan kerajaan masa untuk membetulkan beberapa perkara. Agenda gaji minimum sememangnya satu enigma bagi negara,” katanya.

Sebelum membuat keputusan itu, kerajaan perlu menilai kedudukan keseluruhan ekonomi dan kewangan dalam negara, selain memperbaiki suasana pelaburan negara, katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.