Video: Tahfiz Terbakar – Keselamatan Perlu Diutamakan, Kata TPM

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan menyelaraskan semula pentadbiran pusat-pusat tahfiz di seluruh negara agar mematuhi ciri-ciri keselamatan seperti mana yang telah digariskan dalam dasar pendidikan negara.

Kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tindakan bagi memastikan tragedi yang mengorbankan 23 mangsa termasuk pelajar dan tenaga pengajar dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung tidak berulang.

Beliau bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan singkat ke lokasi kejadian, ibu negara sebentar tadi.

Tambahnya beliau tidak berhajat untuk campur tangan dalam hal ehwal pendidikan agama dibawah kerajaan negeri atau mana-mana pihak berkuasa di peringkat negeri.

Namun perkara sedemikian perlu dilakukan agar piawaian keselamatan yang telah diwujudkan melalui dasar pendidikan maahad tahfiz ini dipatuhi sepenuhnya.

Malah pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menyediakan latihan khusus termasuk mewujudkan pasukan penyelamat dalam sekolah, yang telah dirancang sejak Mei lalu.

Mewakili pihak kerajaan beliau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan berharap mereka cekal dan bersabar.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.