Penolong Setiausaha Srikandi PPBM Umum Keluar Parti

SEREMBAN – Penolong Setiausaha Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Hasnita Hishamudin hari ini mengisytiharkan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Hasnita berkata tindakannya keluar PPBM kerana kecewa dengan budaya fitnah berleluasa dalam parti.

“Amat menyedihkan apabila budaya fitnah menjadi amalan dalam PPBM,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini, dipetik dari laporan KLXpress dan Utusan.

Beliau yang dilantik ke jawatan tersebut oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada April lalu turut mendedahkan lebih ramai ahli Srikandi PPBM di seluruh negara akan mengikut jejaknya keluar parti dalam masa terdekat.

“Tindakan ini dibuat kerana parti ini mengamalkan kronisme dan pilih kasih melampau selain elemen-elemen jijik mula masuk ke dalam parti apabila mereka yang rapat dengan pemimpin tertinggi mengatur orang-orang sendiri.

“Jelas sekali ramai yang masuk ke dalam PPBM hanya mementingkan jawatan daripada memikirkan permasalahan rakyat dan ini sama sekali bertentangan dengan propaganda yang dimainkan ketika penubuhan parti,” katanya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.