Kebumi Satu Liang Lahad Jika Keluarga Setuju Kata Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Jenazah 23 mangsa kebakaran pusat tahfiz  Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung sini hari ini mungkin dikebumikan dalam satu liang lahad sekiranya mendapat persetujuan keluarga.

 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan  Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menguruskan dari awal hingga akhir urusan pengkebumian jenazah kesemua mangsa kebakaran pagi tadi, lapor Bernama.

Jika mendapat persetujuan waris keluarga, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul  Sakinah di Karak, katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kebakaran di pusat tahfiz itu. 

Katanya lagi, proses pengkebumian akan dilakukan secepat mungkin selepas proses forensik selesai.

Dalam pada itu katanya JAWI dan MAIWP juga akan memberikan kesemua bantuan yang diperlukan kepada mangsa yang terselamat termasuk penempatan sementara mereka. 

Asyraf berkatanya seorang kaunselor juga disediakan untuk setiap keluarga bagi memastikan psikologi dan emosi mereka dapat diurus dengan baik akibat trauma kejadian. 

Sementara itu beliau merayu keprihatinan dan rasa tanggungjawab rakyat Malaysia supaya tidak terus menularkan gambar mangsa yang terlibat dalam tragedi itu.

“Dengan rasa amanah dan tanggungjawab tolonglah jaga sensitiviti keluarga dan hormati jenazah. Jika berlaku pada keluarga kita sendiri ia pasti meruntun perasaan kita,” katanya. 

Katanya orang ramai juga diminta berhati-hati dengan sebarang pungutan derma kilat berikutan kejadian kerana dikhuatiri terjebak dengan penipuan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.