Tunjuk Video Lucah Kepada Kanak-Kanak, Jurujual Didenda RM2,500

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang jurujual pakaian yang menunjukkan video lucah kepada dua kanak-kanak membawa padah apabila dia didenda RM2,500 atau dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

 

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu ke atas David Ng Qi Long, 22, selepas tertuduh mengaku bersalah menunjukkan video lucah melalui telefon bimbit kepada anak jirannya yang masing-masing berumur 10 dan 11 tahun dengan niat mengaibkan kehormatan mereka.

 

Qi Long didakwa melakukan kesalahan tersebut di PPR Seri Alam, di sini, pada 5 petang, 8 September lalu.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

 

Dalam rayuan, tertuduh yang diwakili peguam, Rosmira Embong memohon mahkamah mengenakan denda yang minimum dengan alasan ketika kejadian tertuduh hanya berniat untuk main-main sahaja.

 

“Selain itu, tertuduh juga perlu bekerja bagi membantu perbelajaan keluarga kerana bapanya sudah tua dan menghidap pelbagai penyakit,” katanya.

 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhkan berbentuk pengajaran. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.