Tujuh Gajah Mati Terperangkap Dalam Kolam Lumpur

KOTA KINABALU – Tujuh daripada sembilan ekor gajah ditemukan mati setelah terperangkap di dalam kolam lumpur berdekatan Kem Pembalakan Berkat Saga iaitu sebuah perusahaan kayu balak di Rinukut pada Sabtu lalu.

 

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata kesemua gajah itu dipercayai telah terperangkap kira-kira seminggu di dalam kolam lumpur itu sebelum ditemui orang awam.

 

Menurutnya,, tujuh gajah terbabit adalah sebahagian daripada kawanan sembilan gajah.

 

Beliau berkata, anggota Unit Penyelamat Hidupan Liar yang diarahkan ke lokasi mendapati lima gajah sudah mati dalam kolam lumpur terbabit, manakala empat gajah lagi masih hidup dengan dua daripadanya dalam keadaan amat lemah dan akhirnya tidak dapat diselamatkan.

 

“Pada 10 September lalu, Pegawai Hidupan Liar di Tawau melaporkan ada maklumat diterima daripada orang awam mengenai sembilan gajah tidak dapat keluar daripada kolam lumpur berdekatan kem pembalakan Berkat Saga.

 

“Malangnya, apabila pasukan kami tiba di kawasan itu, lima daripada sembilan gajah yang terperangkap sudah mati kemungkinan akibat terperangkap sekurang-kurangnya seminggu dari tarikh dijumpai.

 

“Mereka turut menemui dua gajah yang masih kuat dan menyelamatkannya dengan bantuan jentera berat dari kem pembalakan berhampiran. Dua lagi gajah yang terperangkap ditemui dalam keadaan lemah dan akhirnya tidak dapat diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.–MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.