Dua Lagi Kes Jangkitan Virus Zika Di Malaysia

KUALA LUMPUR – Dua lagi kes Zika dikesan melibatkan adik-beradik, seorang di Miri dan seorang lagi di Kuala Lumpur menjadikan jumlah kes jangkitan Zika di negara ini meningkat kepada enam orang.

 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, berkata, dua kes baru itu dikesan masing-masing pada 11 dan 13 September lalu.

 

Dr Subramaniam dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya pada Rabu malam, berkata, kes kelima melibatkan seorang pesakit wanita berumur 35 tahun yang hamil dua bulan dan menetap di Miri, Sarawak.

 

Menurutnya, pesakit itu yang pernah bekerja di Singapura sebelum ini telah dimasukkan ke Hospital Miri 11 September lalu, selepas keputusan ujian didapati positif Zika.

 

Katanya, kali terakhir wanita berkenaan pergi ke Singapura pada 24 Julai hingga 29 Julai lalu, bagaimanapun kesemua enam ahli keluarga yang tinggal serumah dengannya tiada tanda-tanda jangkitan Zika.

 

Beliau berkata, pesakit kes keenam merupakan kakak kepada kes kelima yang berumur 39 tahun dan menetap di Setapak, Kuala Lumpur dan telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur, 11 September lalu.

 

Dr Subramaniam berkata, wanita berkenaan pernah mengunjungi adiknya di Miri, 26 Ogos lalu dan pulang ke Kuala Lumpur pada 6 September.

 

Katanya, pemantauan Kementerian Kesihatan bagi tempoh 1 September hingga 14 September lalu mendapati 68 kes mempunyai tanda-tanda Zika dilaporkan, namun hasil ujian mendapati keputusannya adalah negatif. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.