Ali Tinju Ancam Adakan ‘Senaman Tonggeng’ Untuk Penganjur Bersih

KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan Baju Merah, Mohd Ali Baharom sekali lagi tampil dengan gimik pelik apabila mengancam untuk mengadakan ‘senaman tonggeng’ siri ke 2.

 

Ali ketika dihubungi berkata beliau bersama penyokongnya akan melakukan aksi membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung di hadapan rumah Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah sekiranya mereka masih berkeras untuk mengadakan himpunan Bersih pada 19 November depan.

 

“Maria Chin akan dapat satu tentangan hebat daripada Gerakan Merah dan kami tidak teragak-agak untuk membuat ‘senamam tonggeng’ siri kedua di hadapan rumah beliau.

 

“Itu pesan Ali Tinju kepada Maria Chin agar berhati-hati, bagaimana Datuk Ambiga mendapat senaman tarian kita juga akan ke rumah beliau (Maria) dalam masa terdekat ini,” katanya.

 

Menurut Ali, pihaknya akan turut menggerakkan 50,000 penyokongnya untuk hadir bagi membantah himpunan itu pada tarikh sama.

 

Malah, Ali berkata kehadiran mereka bukan sekadar memprotes tindakan Maria tetapi akan bertindak menasihati Maria agar menghormati undang-undang negara.

 

“Jika mereka tak berpuas hati tunggu PRU (pilihan raya umum) tahun depanlah. Kenapa tak sabar nak buat kerja bodoh dan menyusahkan rakyat sebegini,” kata Ali Tinju.

 

Kumpulan penentang himpunan BERSIH sudah beberapa kali menganjurkan perhimpunan balas tetapi angka pesertanya jauh lebih rendah.

 

Sementara itu Maria ketika diminta mengulas mengenai perkara itu melahirkan rasa bingungnya dengan ‘senaman tonggeng’ yang bakal diadakan itu sambil berharap ia akan berlangsung secara aman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.