Dua Menteri Dari DAP Gesa Usir Dr Zakir Naik

KUALA LUMPUR – Dua menteri daripada parti DAP hari ini menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengusir penceramah Dr Zakir Naik.

Dua menteri itu ialah Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata, Dr Zakir tidak seharusnya dibenarkan berada dalam negara susulan kenyataannya berkenaan penganut Hindu di negara ini.

“Kami telah menyatakan pendirian kami, yang mana tindakan perlu diambil dan Zakir Naik tidak lagi dibenarkan untuk menetap di Malaysia.

“Perdana menteri telah mengambil kira kebimbangan kami. Kami serahkan kepada beliau untuk mempertimbangkan pendirian dan membuat keputusan secepat mungkin apa yang akan dilakukan untuk menangani masalah itu,” kata kedua-dua mereka.

Dr Zakir dalam ceramahnya di Kelantan baru-baru ini didakwa membandingkan masyarakat Hindu di Malaysia yang dikatakan mendapat lebih banyak keistimewaan berbanding masyarakat Islam di India.

Penceramah itu juga mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, mereka berdua berkata, Zakir tidak sepatutnya dibenarkan terlibat dalam sebarang ceramah di masa akan datang.

“Kami juga menegaskan kebimbangan dibangkitkan dalam banyak ucapan dan kenyataan beliau yang menimbulkan kemarahan.

“Oleh itu, kami menyatakan bantahan terhadap Zakir Naik dan meminta beliau tidak lagi mengadakan sebarang aktiviti di Malaysia atau membuat kenyataan lanjut yang memberi kesan kepada hubungan kaum dan ketenteraman awam,” kata kedua-dua pemimpin DAP itu. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.