SPRM Siasat Pegawai Kanan Mat Sabu Berkaitan Dakwaan Terima Wang RM800,000

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lapor Malaysiakini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dilaporkan mengesahkan kepada portal tersebut berhubung siasatan terhadap pegawai kanan menteri pertahanan itu.

Pegawai itu didakwa menerima wang berjumlah RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantu menyelesaikan masalah hutang supaya namanya dapat dikeluarkan daripada status muflis.

Portal itu turut melaporkan seorang sumber yang tidak didedahkan identitinya memberitahu, beberapa pihak memasukkan wang ke akaun Jabatan Insolvensi untuk menyelesaikan masalah hutang pegawai tersebut yang diisytihar muflis kira-kira empat tahun lalu.

“Didakwa bayaran itu dibuat bagi pihaknya hanya beberapa hari selepas Mohamad mengangkat sumpah sebagai menteri pertahanan,” kata sumber.

Sumber yang lain memberitahu Malaysiakini, SPRM telah merakamkan kenyataan pegawai itu untuk membantu siasatan.

Selain dia, sepuluh lagi individu telah dirakamkan kenyataan, termasuk beberapa kontraktor pertahanan dan wakil-wakil perniagaan.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dilantik sebagai menteri pertahanan dan mengangkat sumpah pada 23 Mei bersama 13 lagi pemimpin Pakatan Harapan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.