Henti Main Politik, Kamu Sekarang Kerajaan Bukan Pembangkang – CheguBard

SHAH ALAM – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) diminta berhenti bermain politik yang dilihat tiada kesudahan kerana mereka bukan lagi kerajaan pembangkang.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin, berkata sikap sedemikian menyebabkan rakyat semakin muak, malah menimbulkan persoalan dalam kalangan pengundi sama ada PH benar-benar layak mentadbir negara atau sebaliknya.

“Cukuplah, rakyat sudah muak. Sekarang ini timbul pula dakwaan Mahathir (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) cuba campur tangan dalam pemilihan PKR.

“Nampaknya rakyat sekali lagi akan dipertontonkan ‘drama’ politik Mahathir vs (lawan) Anwar (Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Adakah ini Malaysia baharu yang rakyat impikan? Sebelum pilihan raya umum (PRU) pun bermain politik, lepas PRU pun bermain politik,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan kononnya Tun Daim Zainuddin mempunyai rancangan menghalang peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir kepada Anwar seperti dipersetujui PH.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, mendakwa gerakan itu digerakkan Pengerusi Majlis Penasihat, Daim menerusi beberapa kenyataannya sebelum ini yang dilihat sebagai ‘campur tangan luar biasa’.

Abdullah Sani yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, turut mengesahkan kesahihan rakaman video yang antara lain memaparkan beliau berucap mengaitkan Daim, Dr Mahathir dan seorang pemimpin tertinggi PKR kononnya berpakat menghalang pelantikan Anwar.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, wakil rakyat PH sepatutnya memberi tumpuan terhadap usaha menstabilkan ekonomi serta mata wang ringgit.

“Ringgit berada pada paras RM4.20 sen berbanding dolar Amerika Syarikat. Ini yang patut kita risaukan.

“Kepada wakil rakyat PH, tukarlah corak pemikiran kerana kamu bukan lagi wakil rakyat pembangkang. Kamu adalah wakil rakyat kerajaan yang mentadbir Malaysia,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.