UMNO Selangor Perlu Buat Penilaian Sebenar, Jangan Leka – Dr Khir

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menggesa UMNO supaya berani membuat penilaian dalam mengenal pasti punca sebenar kekalahan di negeri itu.

“Mereka beranggapan kekalahan BN Selangor pada 2008 (Pilihan Raya Umum Ke-12, PRU12) kerana saya. Mereka lupa BN juga kalah di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Wilayah Persekutuan.

“Lalu mereka perlu singkirkan saya untuk memberi imej gemerlapan dan gemilang kepada BN Selangor. Saya dibicara dan dipenjarakan,” katanya di petik dari Facebook beliau hari ini.

Tindakan itu menurutnya ternyata silap kerana ia langsung tidak membantu BN sebaliknya parti itu tewas lebih teruk pada PRU13 di Selangor.

“Malangnya pada 2013 tanpa saya, BN Selangor kalah lagi teruk. BN rampas Perak dan Kedah, namun nyaris kalah di Terengganu. BN Terengganu tinggal majoriti 2 kerusi.

“Masalah dalam BN dan UMNO ialah mereka tidak berani membuat penilaian sebenar, hidup dalam kepura-puraan mengenai persepsi rakyat,” ujarnya lagi.

Ulasan Dr Khir itu dipercayai berkait rapat dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang menggesa UMNO Selangor mengenal pasti kelemahan parti itu.

Memetik laporan Bernama, Tengku Adnan berkata sebelum ini ramai yang mendakwa kekalahan BN di Selangor pada PRU12 kerana kemarahan umum terhadap Dr Khir dalam isu merobohkan kuil dan anugerah penyapu kepada PBT.

“Tapi, apabila beliau sudah tidak lagi menjadi Menteri Besar selepas itu, kenapa kita masih kalah pada PRU13? Saya minta kepada mereka (BN) cari punca kenapa ini berlaku, mesti ada sebab.

“Petaling Jaya Utara ini pun dahulu (Petaling Jaya), BN pegang empat penggal, dan BN kalah pada PRU12, jadi perlu cari punca kekalahannya dan buat post-mortem supaya kita dapat menggunakan pendekatan baharu untuk capai kemenangan semula,” kata Tengku Adnan.

Sementara itu, dalam coretan yang sama Dr Khir meminta UMNO agar tidak leka dengan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 2016.

“Mereka bersorak menang besar di Sungai Besar. Sebelum PRK semua diminta bersatu dan membantu parti. Selepas menang, jasa dan sumbangan milik orang tertentu sahaja

“Undi yang diterima calon BN, YB Budiman Mohd Zohdin hanyalah 16,800 undi berbanding undi yang diterima oleh Allahyarham Noriah Kasnon sebanyak 18,695 undi. Bayangkan undi merosot hampir 2000.

“Jadi kuat di mana kita? Kuat hanya kerana pihak musuh berpecah, Jika esok mereka bersatu, apa strategi kita”, katanya mengakhiri coretan tersebut. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!