Video: Wanita Cuba Bunuh Diri Di Bangsar

Kuala Lumpur – Seorang wanita dipercayai cuba membunuh diri, dengan merempuh keretanya ke dalam sebuah pusat beli-belah di Bangsar South, sebelum membakar dirinya, petang tadi.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, wanita yang menaiki kereta jenis Perodua Viva itu cuba merempuh pintu masuk pusat beli-belah berkenaan, namun kenderaannya tersekat di tangga.

 

 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansor berkata, mangsa berusia 35 tahun menunjukkan pemetik api kepada pengawal dan menyalakan api pada bajunya.

 

“Siasatan polis mendapati, mangsa bekerja di bahagian penyelidikan teknologi maklumat sebuah syarikat, sebelum diberhentikan kerja tahun lalu, kerana melanggar peraturan syarikat.

 

“Mangsa yang tinggal bersama keluarganya di Selayang dan tidak berkahwin, mempunyai rekod psikiatrik serta mendapat rawatan di Hospital Selayang,” katanya.

 

Beliau berkata, siasatan polis mendapati, punca kejadian disyaki mangsa tidak puas hati kerana diberhentikan kerja dan sedang menjalani proses perbicaraan kes sivil.

 

Katanya, mangsa yang melecur hampir 50 peratus di bahagian badan, dilaporkan dalam keadaan kritikal serta menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

 

Shahrul berkata, polis menemui sebuah tong gas, tiga bekas plastik berisi petrol dan dua kotak mercun dalam kereta wanita itu.

 

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, kerana cubaan membunuh diri.

 

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pantai berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian, sejurus menerima panggilan kira-kira jam 5.13 petang tadi.

 

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta itu masih terbakar di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.