Polis Siasat Menyeluruh Dakwaan Vape Perisa Ganja

KUALA LUMPUR – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen di seluruh negara telah di­arahkan untuk menyiasat dan mengumpul maklumat tentang lokasi-lokasi yang dikesan cuba mengadun sendiri perisa ganja dan ketum bagi memenuhi permintaan segelintir penghisap rokok elektronik.

 

Arahan berkenaan telah dikeluarkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

 

Beliau memberitahu, pihak­nya sedang berusaha mengesan dakwaan penggunaan bahan terlarang di dalam vape tersebut.

 

“Walaupun belum ada tangkapan atau penemuan terbaharu berhubung dakwaan tersebut, mereka yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

 

“Saya telah mengarahkan semua Ketua JSJN di setiap kontinjen supaya memberi perhatian terhadap penggunaan bahan terlarang seperti ganja dan ketum dalam rokok elektronik.

 

“Pegawai-pegawai ini diarahkan untuk mencari serta mengumpul maklumat di setiap pelosok negeri untuk memburu pihak yang didakwa cuba me­nempatkan perisa itu di pasaran.

 

“Setakat ini pasukan khas masih tidak menemukan sebarang penjualan perisa ganja mahupun ketum, namun siasatan tidak berhenti sebaliknya akan lebih agresif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

 

Utusan Malaysia mendedahkan, vape yang sepatutnya berfungsi untuk mengawal ke­tagihan itu disalah guna dengan ciptaan baharu perisa ganja dan ketum bagi menyaingi perisa asal seperti mang­ga, coklat, kopi dan oren.

 

Modus operasi yang dipercayai didalangi sindiket dadah itu didedahkan oleh satu kumpuan peniaga vape yang mengadun sendiri perisa ‘istimewa’ tersebut.

 

Semalam, Kementerian Kesihatan juga mengeluarkan kenyataan supaya pengguna vape berhenti daripada tabiat menghisap bahan tersebut sehingga status penggunaannya di negara ini dikeluarkan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua bulan.

 

Dalam perkembangan sama, Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau media-media sosial yang turut digunakan individu tertentu bagi tujuan pemasaran perisa terlarang itu.

 

“Kita sedang menyiasat beberapa laman web serta laman-laman sosial yang digunakan untuk menjual perisa berkenaan di negara ini dengan bantuan daripada pihak SKMM.

 

“Kami yakin, jika barangan sebegini wujud, suspek akan menggunakan pelbagai medium untuk melariskan dan menjual barangan tersebut kepada penggemar vape,” katanya.

 

Beliau turut menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung vape berperisa ganja atau ketum supaya segera memaklumkan kepada pihak ber­kuasa. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.