Video: PM Umum Pelan Selia Dana Politik

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.

 

Katanya, jawatankuasa berkenaan akan menghasilkan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang yang diperlukan dalam tempoh setahun.

 

Seterusnya ia akan dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

 

 

“Buat masa ini, tidak ada peraturan mengenai pembiayaan politik yang boleh menentukan sesuatu itu salah atau tidak, walaupun terdapat beberapa peraturan mengenai perbelanjaan pilihan raya. Pelan ini diharap akan meningkatkan keyakinan bukan sahaja kepada anggota parti-parti politik malah rakyat dan generasi akan datang,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

 

Menurut Datuk Seri Najib, JKNMPP akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Paul Low.

 

Seorang lagi Menteri di JPM, Datuk Seri Idris Jala, sebagai timbalannya.

 

Jawatankuasa terbabit akan dianggotai wakil parti-parti politik, tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, agensi-agensi kerajaan berkaitan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan termasuk generasi muda.

 

Perdana Menteri berkata JKNMPP akan menjadi penasihat kepada kerajaan dalam hal pembiayaan politik berintegriti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.