PDRM Guna Teknologi Drone Hujung Tahun Ini

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan teknologi drone menjelang hujung tahun ini bagi membantu pelaksanaan tugasan anggotanya di sekitar Lembah Klang.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, alat kawalan jauh itu akan digunakan antara lain untuk memantau situasi seperti perhimpunan haram dan rondaan di sekitar kawasan perumahan.

 

“PDRM sebelum ini telah menubuhkan unit Drone di bawah Unit Udara PDRM bagi memudahkan anggotanya melakukan tugasan itu. Penggunaan teknologi drone ini masih di peringkat latihan.

 

“Apabila urusan berkaitan lesen bagi penggunaan alat ini selesai, In sya-ALLAH PDRM akan mengaplikasikan teknologi ini,” katanya pada sidang media selepas menutup Peringatan Hari Polis ke-208 di sini hari ini.

 

Katanya, PDRM juga merancang memuatkan aplikasi pengesan wajah ke dalam drone yang bakal digunakan untuk tujuan pengecaman wajah penjenayah.

 

“Penggunaan drone dalam penugasan polis secara tak langsung akan mengurangkan tenaga manusia serta menjimatkan kos,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata polis memandang serius sebarang bentuk ancaman untuk menggodam laman sesawang jabatan dan agensi kerajaan. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.