PAS Tidak Kerah Ahli Sertai Demonstrasi Bersih 4.0

KOTA BHARU – Pas tidak pernah diundang mana-mana pihak untuk terlibat secara langsung dengan perhimpunan jalanan Bersih 4.0 yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 29 Ogos ini.

 

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sehubungan itu, pihak parti tidak akan menggerakkan ahli Pas untuk menyertai perhimpunan yang dipelopori Dap serta PKR itu.

 

Bagaimanapun kata beliau, Pas tidak melarang sekiranya ada ahli mahu menyertai perhimpunan tersebut.

 

“Sebagaimana kenyataan Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kita menyokong tuntutan melaksanakan pilihan raya yang telus dan bersih.

 

“Namun dalam kes Bersih 4.0, kita tidak arah, tetapi tidak larang (ahli sertai perhimpunan) kerana kita tidak terlibat dari segi penganjuran. Kita tidak dipanggil pun untuk melibatkan diri secara rasmi,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Kutipan Dana Dewan Pemuda Pas Kelantan, di sini semalam.

 

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar memberitahu, Pas sedang mengumpulkan bukti serta maklumat lengkap mengenai ahlinya yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

 

Katanya, perkara itu dikendalikan oleh Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan yang akan menyediakan laporan lengkap untuk membentangkannya kepada Pas Pusat.

 

“Daripada situ, baru kita boleh buat keputusan apa tindakan yang perlu kita ambil iaitu sama ada keluarkan surat tunjuk sebab, beri amaran, gantung keanggotaan atau pecat daripada parti,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.