Masyarakat Sekarang Suka Dengar Fitnah – Ku Nan

Kuala Lumpur – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor risau dengan sikap rakyat Malaysia hari ini yang terlalu percaya berita fitanh dan suka mendengar ‘cerita bukan-bukan’.

 

Katanya, masyarakat Malaysia telah menjadi ‘pakar’ dalam pelbagai bidang berdasarkan khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan aplikasi WhatsApps.

 

“Dengan melihat Facebook, dengan melihat WhatsApps, dengan melihat twitter,..kita semua menjadi (masyarakat yang mendengar) khabar angin. Semua menjadi pakar. Menjadi pihak ketiga.

 

“Apa yang berlaku pada 1MDB, kita semua menjadi pegawai bank, menjadi konsultan kewangan padahal mereka tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya..tolong lah,” katanya selepas menghadiri jamuan Aidilfitri dan Majlis Penyerahan Kunci Suasana Lumayan di Bandar Tun Razak pada Jumaat.

 

Setiausaha Agung UMNO itu mengakui beliau takut dan bimbang dengan dakyah-dakyah di Malaysia yang disebarkan menerusi media sosial pada hari ini.

 

Beliau yang lebih mesra dipanggil Ku Nan berkata, rakyat Malaysia seharusnya menjadi rakyat yang jujur dan hidup bersama dan tidak sepatutnya membazirkan kepada perkara yang tidak sepatutnya.

 

“Saya paling takut sekarang ni dengan dakyah-dakyah yang ada di sekeliling kita yang boleh membuatkan negara lain melihat negara kita sebagai tidak aman, sejahtera dan sentosa.

 

“Takkan nak bazir pada perkara yang tidak sepatutnya..jangan main api, takut termakan diri,” katanya.

 

Beliau berkata, masalah perkauman yang dibangkitkan media sosial sebenarnya tidak wujud di negara ini.

 

Buktinya, kata Ku Nan, beliau melantik Pengarah Eksekutif Pelaksanaan dan Penyelenggaraan, Dr Tan Keng Chock dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai individu kedua terpenting selepas Datuk Bandar.

 

“Kita tidak ada masalah perkauman, kita semua hidup di Malaysia secara bersama.

 

“Tak guna kita bercakaran apatah lagi orang Melayu, satu agama, bangsa, cuma yang penting, jangan angkuh, sentiasa merendah diri dan hidup saling bekerjasama, dan yang penting jangan bermain api menyentuh lagi isu perkauman,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.