Mahkamah Tolak Permohonan The Edge Tangguh Gantung Permit Penerbitan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan The Edge Communications Sdn. Bhd. untuk menangguhkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang menggantung permit penerbitan dua akhbar mereka selama tiga bulan.

 

Permit kedua-dua akhbar itu, The Edge dan The Edge Financial Daily digantung ekoran menyiarkan laporan mengenai isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

 

Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching memberitahu pemberita berhubung keputusan Hakim Datuk Asmabi Mohamad yang dibuat di kamar hakim di sini.

 

Alice mewakili Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Menteri Dalam Negeri yang dinamakan sebagai pihak responden.

 

The Edge Communications selaku pihak pemohon diwakili peguam Darryl Goon.

 

Syarikat penerbitan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 27 Julai lalu untuk mendapatkan kebenaran supaya mahkamah menolak atau membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang terkandung dalam surat bertarikh 23 Julai lalu.

 

Namun begitu, sementara menunggu permohonan semakan kehakiman didengar dan diputuskan, The Edge Communications memohon supaya mahkamah menggantung buat seketika keputusan Menteri Dalam Negeri.

 

Permohonan semakan kehakiman akan didengar pada 7 September ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.