Lelaki Disyaki Pengganas LTTE Diusir Dari Malaysia

Kuala Lumpur – Cubaan seorang lelaki yang dipercayai pengganas bersembunyi di negara ini gagal, selepas Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahannya dalam operasi khas di sekitar ibu negara, Jumaat lalu.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, warga asing berusia 37 tahun itu dipercayai anggota kanan kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

 

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, suspek dari Sri Lanka itu memasuki negara ini pada Disember 2012, menggunakan pas lawatan sosial.

 

“Siasatan awal mendapati, suspek menjadikan Malaysia sebagai tempat persembunyian dan terlibat dalam aktiviti memeras ugut rakan senegaranya, untuk mendapat dana bagi menghidupkan kembali perjuangan pengganas LTTE di Sri Lanka.

 

“Suspek juga pernah terlibat dalam sindiket pemalsuan kad kredit di Malaysia yang didalangi beberapa warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, kerana menetap melebihi tempoh dan diusir ke negara asalnya hari ini, untuk tindakan susulan pihak berkuasa Sri Lanka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.