JPJ Tidak Kompromi Dengan Anggota, Pegawai Lakukan Kesalahan

Kuala Lumpur – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota mahupun pegawainya yang melakukan kesalahan melanggar disiplin termasuk kesalahan jenayah.

 

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata pihaknya mempunyai kira-kira 9,000 anggota di seluruh negara dan ada dalam kalangan mereka dikesan melakukan kesalahan disiplin seperti tidak datang kerja, melanggar prosedur dan sebagainya.

 

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang melakukan kesalahan dan jika mereka ini lakukan perkara yang tidak betul, kena sedia bertanggungjawab. Bagi tindakan tatatertib, sebulan sekali kita akan bersidang.

 

“Jika kes itu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita akan minta SPRM ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri JPJ Terengganu di Kuala Terengganu malam tadi.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan seorang pesara JPJ yang ditahan kerana dipercayai terlibat menjual lesen memandu dan kad pengenalan palsu di Kelantan baru-baru ini.

 

Katanya biarpun pihaknya memandang serius perkara itu, namun kes itu hanya terpencil dan individu tersebut telah tamat perkhidmatannya bersama JPJ.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.