Dafi Tidak Takut Tinggal Di Malaysia

Sejak kebelakangan ini situasi dunia politik negara menjadi ‘panas’, tidak kurang menteri juga menerima kritikan hebat daripada orang ramai yang meluahkan pendapat serta ekspresi masing-masing terhadap situasi semasa negara sekarang.

 

Namun apa yang menyedihkan, dalam keadaan negara berdepan dengan beberapa isu, kritikan-kritikan negatif yang dilemparkan mencetuskan lagi kontroversi yang berterusan.

 

Sedar dengan situasi tersebut, penyanyi dan pelakon Dafi berpendapat, kerajaan perlu terbuka dan tidak salah jika menerima kritikan dan teguran daripada rakyat selagi kritikan itu tidak melampaui batas dan tidak keterlaluan.

 

“Selagi tidak keterlaluan bagus mereka (kerajaan) dikritik tetapi biarlah kritikan yang membina.

 

“Kalau ada teguran baru mereka tahu di mana silap dan kekurangan mereka dan sebagai manusia, tidak semuanya kita sempurna,” katanya ke pada Malaysian Digest ketika ditanyakan pandanganya sebagai seorang yang lahir dalam keluarga berpengaruh dalam kerajaan dan dunia politik tanah air yang berdepan situasi masa kini.

 

Tambah anak kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri ini, masyarakat usah mempertikaikan keputusan kerajaan sebaliknya memahami sedalamnya mengenai sesuatu perkara sebelum memberikan pandangan mahupun komen baik secara lantang atau menerusi media sosial.

 

“Saya jadi artis pada tahun 2007 tetapi bapa saya berjinak-jinak dalam politik sejak saya dari zaman sekolah lagi dan pada tahun 2008 baru dia berjaya bergelar ahli politik.
“Bagi saya, jika seseorang itu memang tidak layak memengang jawatan atau berada di satu-satu posisi itu, dalam apa cara pun dia tetap tidak akan berada di situ.

 

“Macam saya sebagai belia, kadang-kadang saya ada memberikan pandangan, bertanya dan tegur ayah kalau saya rasa tak puas hati mengenai sesuatu perkara itu. Saya beri pendapat saya dan kemudian ayah saya beri penjelasan dan baru saya nampak gambaran yang jelas dan lebih faham.

 

“Jangan kita bertindak seolah-olah kita tahu seratus peratus tentang sesuatu perkara itu walhal pengetahuan kita terhadap perkara itu hanya 10 peratus,” katanya yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Utusan Karya di Bangi Selangor, semalam.

 

Diminta mengulas keterbukaan dia dan keluarganya menerima dan berdepan dengan kritikan, Dafi menyatakan mereka sekeluarga sentiasa bersedia dan tidak mudah melatah jika terpalit atau dikaitkan dengan sesuatu isu atau kontroversi.

 

“Saya dan adik beradik lain tidak pernah rasa tertekan kerana kami sudah biasa dan sudah tahu bagaimana berdepan dengan situasi dikritik.

 

“Sejak awal saya masuk dalam industri saya pernah menerima macam-macam kritikan. Saya pernah beritahu dengan keluarga, selagi mereka ada kaitan dengan saya, mereka juga tidak terlepas daripada menerima sebarang kritikan.

 

“Begitu juga dengan bapa saya, sebelum ini namanya pernah terpalit dengan beberapa isu.

 

“Bagi kami, tidak perlu takut dengan situasi itu sebaliknya bersikap tenang. Kami sekeluarga sentiasa memberi teguran dan sokongan kepada ayah saya,” katanya.

 

Meskipun mengakui situasi politik kini teruk, sebagai rakyat Malaysia Dafi menyatakan dia tidak pernah berasa takut untuk terus menetap di negara ini dan yakin keadaan akan pulih sekaligus rakyat akan menjalani kehidupan dengan sejahtera.

 

“Politik kita sekarang memang teruk, ada juga yang menyuarakan takut nak tinggal di sini tapi saya tidak takut tinggal di Malaysia,” katanya.

 

Sementara menyentuh perkembangan kariernya, di samping menguruskan syarikat miliknya, LOL Entertainment, Dafi yang baru selesai menjayakan pementasan teater Maduku Kalut Return di Istana Budaya, minggu lalu.

 

Kini dia sibuk dengan proses rakaman album terbaharu. Istimewanya album kali ini diterbitkan oleh produser terkenal Indonesia yang juga merupakan pengasas kumpulan Dewa, Ahmad Dhani.

 

“Saya baru selesai rakamkan lima lagu. Akan ada 10 lagu dalam album kali ini, semua lagu ciptaan Ahmad Dhani.

 

“Insha Allah saya akan ke Indonesia pada hujung bulan ini atau bulan depan untuk menyambung rakaman,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.