Bekas Wakil Rakyat DAP, Masuk PAS

Kuala Lumpur – Setelah terdapat anggotanya menyertai DAP, PAS kini seolah-olah mendapat ‘ikan besar’ apabila bekas anggota wakil rakyat DAP Perak Sum Cheok Leng menyertai mereka hari ini.

 

Malah, keputusan itu dibuat sehari selepas beliau dilapor meletakkan jawatan sebagai anggota DAP semalam.

 

Harakahdaily melaporkan bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bercham itu mengumumkan menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di pejabat PAS Perak, dekat Ipoh, hari ini.

 

“Walaupun saya tidak lagi menjadi wakil rakyat, tetapi masyarakat masih mencari saya minta tolong.

 

“Saya ditawarkan oleh seorang individu di dalam PAS untuk sertai PAS supaya ada pentas baru untuk berkhidmat kepada masyarakat.

 

“Saya pertimbang tawaran itu dan akhirnya saya membuat keputusan menyertai PAS,” beliau dipetik sebagai berkata.

 

Penyertaan Sum itu dilihat menjadi tamparan kepada DAP, rakan lama mereka dalam Pakatan Rakyat, yang kini sudah pun terkubur, selepas perselisihan pendirian berpanjangan.

 

Keadaan politik semasa menyaksikan kemungkinan besar wujud gabungan baru pembangkang antara PKR, DAP dan serpihan PAS, Gerakan Harapan Baru (GHB).

 

PAS mungkin terpaksa berdepan pilihan raya umum akan datang secara bersendirian, ketika berdepan dengan BN.

 

Keadaan itu juga berpotensi mewujudkan lebih banyak pertembungan tiga penjuru yang dilihat pemerhati akan menguntungkan parti pemerintah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.