Abby Abadi Kembali Menjadi Seorang Isteri Buat Kali Ke-3

Kuala Lumpur – Hanya dengan sekali lafaz, bekas pelakon yang kini bergelar usahawan, Abby Abadi atau nama sebenarnya, Arbaeyah Abdul Manan, 38, selamat bergelar isteri kepada seorang wartawan, Muhammad Faizal Zakaria, 41, tepat pukul 3.30 petang dalam satu majlis yang diadakan di sini, hari ini.

 

Seperti mana yang dilaporkan oleh portal mStar, majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Assobirin, Lembah Keramat itu menyaksikan Abby menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan sebuah al-Quran bagi menggantikan wang hantaran.

 

Dalam majlis yang diadakan serba ringkas itu, pihak pengantin lelaki menyerahkan 11 dulang hantaran termasuk tas tangan, telekung, jam tangan, wangian dan buah-buahan.

 

Sebagai balasan, pengantin perempuan menyerahkan sembilan dulang yang merangkumi sejadah, kasut, dompet, jam tangan dan buah-buahan.

 

Turut hadir ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan artis seperti Azza dan Sasha Saidin.

 

Ini merupakan perkahwinan ketiga buat Abby yang pernah mencipta kegemilangan menerusi drama bersiri dan filem Gerak Khas itu manakala yang kedua buat Muhammad Faizal atau lebih dikenali sebagai Jai yang merupakan wartawan kanan akhbar Harakah itu.

 

Sementara itu, Abby yang ditemui Harian Metro pula berkata, dia mengharapkan ikatan perkahwinannya ini akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

 

“Saya bersyukur kerana ditemukan dengan jodoh sekali lagi dan semoga perkahwinan ini akan menjadi yang terakhir dalam hidup saya,” katanya kepada akhbar itu.

 

Pasangan mempelai akan diraikan dalam satu majlis resepsi penuh sederhana di Taman Tasik Titiwangsa, di sini Ahad ini.

 

Sebelum ini, Abby yang juga bekas anggota kumpulan Elite pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Norman Hakim pada tahun 2002.

 

Namun, perkahwinan mereka yang sering mendapat perhatian meluas itu tidak kekal lama apabila masing-masing membuat keputusan untuk bercerai pada tahun 2008.

 

Menerusi perkahwinan itu, Abby dan Norman dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata.

 

Kemudiannya, pada tahun 2013, Abby mengejutkan ramai pihak apabila berkahwin kali ketiga dengan seorang pemuda, Muhammad Noor Farhan Che Bakar yang 12 tahun lebih muda daripadanya ketika itu.

 

Namun, perkahwinan itu tidak bertahan lama dan berakhir dengan kontroversi apabila Abby diceraikan dengan talak satu pada 9 Mei 2014.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.