1MDB Selar Kenyataan Tony Pua

Kuala Lumpur – Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy menyelar kenyataan Ahli Parlimen DAP, Tony Pua kerana mengulangi tuduhan sama yang mana ia telah diperjelaskan oleh Arul Kanda melalui kenyataan akhbar sejak Januari tahun ini.

 

Merujuk kepada kenyataan Tony Pua hari ini yang menyenaraikan beberapa soalan mengenai urusan syarikat itu, Arul menegaskan bahawa kesemua jawapan telah diberikan dalam kenyataan 48 muka surat yang boleh diakses dengan mudah di laman web syarikat itu.

 

Malah katanya, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mana Tony Pua juga merupakan ahlinya juga telah diberikan Laporan Interim Peguam Negara di mana ia menjawab segala persoalan yang dibangkitkan.

 

“Perbicaraan oleh media tertentu atau oleh ahli-ahli politik pembangkang tertentu, di luar proses dan keperluan undang-undang, tidak akan memberi faedah kepada sesiapa.

 

“YB Tony Pua pasti menyedari bahawa 1MDB adalah syarikat yang paling banyak disiasat di Malaysia. Kami telah kongsikan dan akan terus berkongsi segala maklumat yang relevan kepada pihak berkuasa seperti Ketua Audit Negara, Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, PDRM, SPRM dan PAC.

 

“Siasatan bebas, telus dan professional ini merupakan saluran yang sesuai untuk mendedahkan kebenaran tentang 1MDB,” katanya.

 

Terdahulu, Pua dalam kenyataannya berkata, Arul perlu membuktikan tuntutannya daripada cabang pelaburan negeri adalah terbuka dengan menjawab beberapa soalan termasuk pemindahan yang dikatakan hampir AS $ 1.2 bilion kepada sebuah syarikat yang diketuai oleh ahli perniagaan Jho Low, Gold Star Limited, sekiranya hutang firma itu meningkat dari RM42 bilion kepada hampir RM50 bilion dan jumlah itu telah dibayar kepada Aabar atau International Petroleum Investment Corporation untuk menebus pilihannya.

 

Tony Pua turut mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB tidak jujur dan tetap menyatakan banyak persoalan mengenai syarikat itu tidak terjawab, termasuk dakwaan terbaru peningkatan hutang yang dilaporkan dari RM42 bilion kepada RM50 bilion.

 

“1MDB kini memfokuskan kepada pelan rasionalisasi yang mana ia akan terus lancar walaupun berdepan tuduhan oleh YB Tony Pua.

 

“Kami komited untuk menstabilkan syarikat, memenuhi obligasi hutang kita dan memajukan projek-projek strategik yang berkepentingan nasional. TRX, Bandar Malaysia dan Edra Energy Berhad,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.