TPM Akan Umum Tarikh Bawa Pulang Jenazah Nahas MH17

Sepang – 10 daripada 16 mangsa rakyat Malaysia yang disahkan identitinya dalam tragedi pesawat MH17 adalah bukan Islam manakala selebihnya lagi beragama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata daripada 43 penumpang dan anak kapal rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas itu, sebanyak 22 daripada mereka adalah bukan Islam.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan tarikh untuk membawa pulang 16 mayat tersebut ke tanah air, pada Khamis

Menurutnya empat wakil agama bukan Islam iaitu Ven Sing Kan (Buddha), Datuk Mohan Shan (Hindu), Haracharan Singh (Sikh) dan wakil Tao, Daozhang Tan Bon Sin akan melakukan upacara sembahyang serta menyempurnakan jenazah mengikut kehendak dan kepercayaan agama masing-masing di Amsterdam, Belanda.

Kurup berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemergian empat wakil agama itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

“Empat wakil agama ini akan diiringi oleh dua pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk memastikan segala urusan berkaitan pengurusan jenazah berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata mangsa nahas MH17 yang beragama Kristian akan diuruskan dan diselaras oleh Rev Claas Ban Der Kamp daripada Majlis Gereja Belanda.

Jelasnya, kerajaan akan menghormati pilihan ahli keluarga mangsa sama ada disemadikan di Belanda atau dibawa pulang ke Malaysia.

Manakala kos pengurusan jenazah akan ditanggung oleh MAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.