Teng Kemas Pejabat, Rodziah Hantar Surat Letak Jawatan

Shah Alam – Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Selangor daripada PKR Rodziah Ismail menghantar surat peletakan jawatan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tengah hari tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Faekah Husin mengesahkan surat peletakan jawatan Rodziah yang dihantar ke pejabat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Faekah berkata, Rodziah menghantar surat ke pejabat Khalid pada pukul 1.15 tengah hari.

Beliau juga mengesahkan Khalid tahu mengenai surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga itu.

“Ya, betul. Surat dihantar ke pejabat menteri besar pada pukul 1.15 petang tadi,” kata Faekah melalui kiriman pesanan ringkas (SMS) kepada The Malaysian Insider.

Khalid dalam satu kenyataan turut mengesahkan peletakan jawatan Rodziah berkuatkuasa hari ini.

Katanya, tindakan Rodziah sah mengikut Artikel 53 (7) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menyatakan mana-mana exco boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Rodziah atas sumbangan dan khidmat yang diberikan sepanjang menjadi exco kerajaan Selangor,” katanya.

Sementara itu, exco DAP yang dipecat, Datuk Teng Chang Khim ketika ditemui di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Shah Alam mengakui mula mengemas barang di pejabatnya di tingkat 3 selepas menerima notis pemecatan rasmi daripada istana semalam.

“Saya kena kemas barang sekarang. Hari ini saya ada taklimat dengan kakitangan pejabat,” katanya.

Teng membidas kenyataan Khalid yang masih enggan berundur walaupun Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengemukakan nama 30 Adun Pakatan Rakyat yang sudah hilang kepercayaan terhadap menteri besar.

Katanya, tindakan Khalid yang mahu kekal berkuasa sehingga November depan berniat jahat dan menggesa bekas ketuanya memanggil sidang tergempar segera.

Beliau turut membidas empat exco PAS yang didakwanya menyokong niat Khalid untuk terus kekal mentadbir negeri.

“Kalau hendak buat pilihan raya pilihan raya mengejut pun kena buat sekarang. Jangan tunggu sampai November. Dia tidak boleh melarikan diri,” katanya.

Katanya, tiba masanya Undang-Undang Tubuh Negeri dikaji semula bagi mengurangkan kuasa veto menteri besar.

Khalid sebelum ini enggan menerima senarai 30 Adun yang diperoleh Dr Wan Azizah, sebaliknya mahu perkara itu dibuktikan melalui undi tidak percaya dalam DUN.

Persidangan DUN penggal ketiga akan dijadualkan berlangsung pada November ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.