PAS Bincang Kewajaran Keluar Dari Pakatan Malam Ini

Kuala Lumpur – Mesyuarat Lajnah Politik PAS malam ini dijangka membincangkan empat topik panas berkaitan krisis menteri besar (MB) Selangor yang kini menjadi perdebatan hangat.

Selain pendirian PAS terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim, difahamkan akan dibincangkan juga isu kemampuan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta kemungkinan calon alternatif baru.

Dua lagi isu panas bakal dibangkitkan ialah kewajaran PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan perkembangan terbaru sokongan dua ADUN PAS menyokong Dr Wan Azizah sebagai MB hari ini.

Ketika dihubungi sumber-sumber yang dekat dengan lajnah itu menjelaskan mesyuarat malam ini bertujuan menyusun rangka kerja sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS pada 17 Ogos.

“Bagaimanapun ia (keputusan lajnah politik) bukan satu kata putus muktamad. Ia lebih dilihat menyediakan satu rangka untuk mesyuarat itu nanti,” kata sumber-sumber itu lagi.

Biro itu akan bermesyuarat di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur pada jam 9 malam ini dengan dipengerusikan oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pemerhati politik melihat pertembungan hujah kumpulan pro-ulama dan pro-Erdogan mungkin memanaskan suasana mesyuarat itu apatah lagi suara kedua-dua kumpulan itu yang hampir seimbang dalamnya.

Sudah dimaklumi kumpulan pro-Erdogan – yang pro-Pakatan – sudah pasti bakal menolak usaha yang dikatakan bakal dibangkitkan kumpulan pro-Ulama, yang cenderung mahu PAS keluar daripada gabungan pembangkang.

 

‘Pandangan minoriti, berlawak’

Sumber berkata desas-desus berhubung usaha kumpulan pro-Ulama itu bertiup kencang sejak tarikh mesyuarat itu ditunda sebanyak dua kali sebelum ini.

Ia juga dilihat lanjutan perbincangan dalam media sosial susulan analisis senario yang dikemukakan oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki di ambang sambutan Aidilfitri bulan lalu.

“Saya tengok ia (keluar Pakatan Rakyat) tidak logik. Itu pandangan minoriti atau nampak lebih kepada berlawak. Sewaktu rakyat berbilang kaum menerima kita sebagai Pakatan, kita buat keputusan untuk menolak,” kata sumber itu.

Sementara itu, isu kemampuan Dr Wan Azizah yang dipilih menggantikan Khalid bakal mencetuskan perdebatan panas di kalangan anggota lajnah itu.

Perkembangan terbaru bahawa penolakan istana terhadap isteri kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk dakwaan prestasi hambar sebagai presiden parti dikatakan antara hujah penolakannya.

Sumber-sumber memaklumkan, selepas pendirian istana dibuat, Abdul Hadi sendiri berkongsi pandangan sama dan dikatakan meminta Anwar menyediakan calon lain sewaktu pertemuan mereka di Kuala Terengganu kelmarin.

 

‘Calon alternatif’

PAS dijangka membincangkan calon MB alternatif dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali antara yang disebut-sebut sebagai pilihan untuk dimajukan kepada istana.

Sumber yang juga pemimpin kanan PAS itu berkata, perkembangan hasil siri pertemuan antara pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan dalam tempoh dua minggu ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat malam ini.

“PAS dijangka membincangkan senarai calon MB daripada PKR selain daripada Azizah, termasuk Azmin. PAS juga tidak pernah bincang (sebelum ini) calon MB daripada PAS.

“Ini kerana, kita menghormati bahawa ia adalah satu konvensyen dalam Pakatan. Tidak timbul calon MB daripada PAS,” katanya.

Bagaimanapun, sumber-sumber lain berkata wujud usaha kumpulan pro-Ulama untuk mencalonkan calon MB daripada PAS sebagai ‘langkah lunak’ jika usul keluar daripada Pakatan tidak menjadi kenyataan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.