Mila Kahwin Tahun depan

Penyanyi Persis Mutiara, Mila Jirin, akhirnya membuat pengakuan bakal menamatkan zaman solonya tahun depan bersama pengurusnya sendiri, Isz Mustapha yang sudah dikenalinya sejak usia 18 tahun.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Norsyarmilla Jirin, 27, akui sampai masanya untuk dia mendedahkan siapakah calon suaminya itu.

“Saya rasa tidak perlu berahsia lagi kerana tarikh perkahwinan kami pun sudah makin hampir. Kami ada sebab tersendiri kenapa merahsiakan hubungan cinta yang terjalin selama ini. Kami tidak mahu apabila hubungan kami diketahui ramai, ia akan menyukarkan kami melakukan pelbagai urusan kerja,” jelas Mila.

Kata Mila lagi, Isz yang berusia awal 30-an adalah rakan sekampung dengannya di Pulau Pinang dan mereka sudah lama saling kenal mengenali.

“Isz mula menjadi pengurus saya setahun selepas saya menang Akademi Fantasia 5 (AF5). Pada mulanya kami hanya bersahabat, tetapi lama kelamaan kami mula keluar ‘dating’ terutama selepas masing-masing putus cinta.

“Hubungan kami juga menjadi serius kerana keluarga kami merestui perhubungan kami. Pada masa sama, kami sama-sama meminati dunia bisnes dan itu memudahkan kami untuk mengembangkan kerjaya. Kalau saya sudah terbabit dalam perniagaan restoran, Isz pula dalam bidang katering,” kata Mila.

Mila ditemui di majlis pelancaran Dewan Pengantin Crystal dan pakej lengkap perkahwinan anjuran Wedding Studio dan Bizmilla Katering yang berlangsung di Plaza Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.

 

Belum putus tarikh nikah

Majlis perkahwinan Mila Jirin dan pengurusnya, Isz Mustapha, khabarnya akan berlangsung di Dewan Crystal, Plaza Bukit Jelutong, tahun depan.

Pun begitu Mila menjelaskan, pihaknya belum memutuskan lagi tarikh sebenar untuk meraikan hari bahagia itu.

“Insya-Allah, kalau sudah dapat tarikh sesuai barulah kami akan beritahu ­kepada semua pihak nanti. Masih ada beberapa perkara penting yang perlu ­diselesaikan terlebih dulu sebelum kami memilih tarikh pernikahan dan membuat segala persiapan,” katanya.

Bagaimanapun, apabila diminta bergambar bersama pada majlis itu, Mila dan Isz menolak dengan baik atas sebab-sebab peribadi.

Apa yang jelas, walaupun sudah bergelar usahawan, Mila tidak pernah melupakan cintanya terhadap bidang nyanyian yang sudah sebati dalam dirinya itu.

“Saya akui kurang mendapat publisiti di media massa seperti dulu, tetapi saya masih berhempas pulas memenuhi banyak unda­ngan untuk majlis tertutup sampai sekarang.

“Untuk peminat semua, saya sekarang mempertaruhkan lagu baru berjudul ­Boneka ciptaan Kunci ­Demak. Tidak ketinggalan, saya bakal muncul dengan lagu duet bersama Nubhan, Hampir Jauh, ciptaan Omar K,” katanya.

 

Berhijab bukan ikut trend

Jauh di sudut hati, sudah lama Mila memendam hasrat untuk berhijab, sekali gus menunaikan tuntutan Islam itu.

“Sebenarnya, saya sudah lama teringin berhijab, namun sebagai artis, saya terikat dengan beberapa komitmen termasuk menandatangani beberapa kontrak.

“Alhamdulillah, selepas semua komitmen selesai, saya tidak buang masa lagi dan terus berhijab sejak Ramadan lalu,” katanya.

Jelas Mila, mengambil keputusan yang sama seperti Neelofa dan Ziana Zain yang mengenakan hijab pada bulan yang mulia itu.

Secara peribadi, Mila mengakui hatinya lebih tenang dan bahagia sejak berhijab.
Namun Mila menepis gosip yang mendakwa dia berhijrah kerana ingin berkahwin.

“Terus terang, saya ­berhijab atas kerelaan hati sendiri. Isz sendiri tak pernah memaksa saya berhijab kerana dia tahu komitmen saya dalam bidang seni,” katanya.

Sesuai dengan penampilan itu, Mila yang bernaung di bawah syarikat rakaman Nova Music bercadang untuk muncul dengan lagu bercorak kerohanian tidak lama lagi.

“Saya juga akan lebih berhati-hati dalam memilih gaya yang sesuai ­dengan imej hijab ini termasuk untuk pembikinan video muzik terbaru nanti,” katanya.

Dalam perkemba­ngan lain, Mila juga sibuk ­mengusahakan dua perniagaan restorannya iaitu Embun Urai di Taman Tasik Prima, Puchong serta cawangan baru di lokasi berhampiran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.