Mesyuarat MTES Tidak Bincang Kedudukan Anwar Sebagai Penasihat Ekonomi

Shah Alam – Kedudukan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang berlangsung pagi tadi.

“Tidak dibincangkan dalam mesyuarat MTES,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat MTES di Bangunan SUK hari ini.

Khalid walau bagaimana enggan mengulas kedudukan Exco, Rodziah Ismail yang akur dengan keputusan PKR untuk melantik Presiden, Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar yang baru.

Rodziah awal pagi tadi dilaporkan berkata beliau akan meletakkan jawatan walaupun masih dialu-alukan di dalam kabinet menteri besar Selangor itu.

“Ya, saya akan (letak jawatan),” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan keluar daripada kabinet Khalid.

Ketika ditanya sama ada beliau akan bekerjasama dengan Khalid, Rodziah menjawab, beliau akan menyokong Pakatan Rakyat.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu bilakah perkara itu akan dibincangkan.

Ketika ditanya isu kedudukan Ahli Majlis daripada PKR dan DAP, Abdul Khalid memberitahu perkara itu akan dibincangkan kemudian.

Setakat ini kedudukan semua bekas Exco masik kekal sebagai Ahli Majlis PBT Selangor.

Kuota yang masih tidak diisi sehingga kini akan dibuka kepada orang awam menerusi pengiklanan di akhbar dan media massa.

Sejak 2013, hanya kira-kira 80 dari hampir 200 kuota ahli majlis sembilan kerajaan tempatan di Selangor telah diisi.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dilaporkan menyuarakan kebimbangannya tentang kemungkinan ahli-ahli majlis dari PKR dan DAP turut dipecat susulan pemecatan exco PKR dan DAP.

Suhaizan berharap agar exco-exco PAS yang kekal dalam kerajaan Selangor tidak menyokong usul itu seandainya ia dicadangkan kelak.

Terdahulu semua Exco (PAS) dilihat hadir ke mesyuarat MTES seperti mana yang dijadualkan sebelum ini.

Wakil media mula berkumpul di lobi Bangunan SUK sejak jam 8.30 pagi lagi.

Dalam perkembangan yang sama, bekas exco DAP, Datuk Teng Chang Khim dilaporkan telah memulangkan kenderaan rasmi kepada kerajaan negeri pagi ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.