Khalid Minta Azizah Buktikan Sokongan Melalui Undi Tidak Percaya

Shah Alam – Membidas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan beliau akan kekal memegang jawatannya sekarang sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) mengesahkan sebaliknya.

Khalid berkata, dakwaan Dr Wan Azizah yang dia memperolehi sokongan majoriti 30 ahli dewan undangan negeri (Adun) daripada semua 56 Adun, sebagai calon menteri besar baharu, perlu dibuktikan melalui undi tidak percaya dalam DUN.

“Kita maklum tentang pengumuman Dr Wan Azizah yang mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti Adun Selangor. Sungguhpun begitu, dakwaan ini hendaklah diterjemahkan melalui proses undi tidak percaya di DUN sebagaimana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri,” katanya.

Katanya, sementara menunggu undi tidak percaya dibuat dalam DUN, pentadbiran negeri akan berjalan seperti biasa.

Beliau berkata, pemimpin dan pentadbir negeri perlu mematuhi proses undang-undang itu dan menghormati Sultan Selangor sebagai kuasa penentu.

“Proses ini penting memandangkan Selangor merupakan kerajaan yang mempunyai peraturan, undang-undang serta proses perundangan yang perlu dipatuhi, tidak hanya rakyat bahkan pemimpin dan juga pentadbir negeri ini.

“Semua usaha ini adalah tertakluk kepada kuasa Sultan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah dalam sidang media di Subang tengah hari tadi menggesa Khalid meletakkan jawatan selepas mendapat sokongan 30 Adun Pakatan Rakyat.

Selain sokongan daripada 15 Adun DAP dan 13 PKR, dua Adun PAS Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) juga hadir memberikan sokongan kepada presiden PKR itu.

“Dengan ini saya mengumumkan 30 orang Adun PR termasuk saya menyatakan rasa hilang percaya kami kepada Khalid sebagai menteri besar.

“Mereka juga menyatakan sokongan kepada saya untuk mengambil alih sebagai menteri besar baru,” katanya.

Ini bermakna menteri besar dua penggal itu kehilangan sokongan majoriti di DUN itu.

“Dengan perkembangan terbaru ini, kami mengesahkan kami mempunyai majoriti di DUN dengan sekurang-kurangnya empat orang,” kata Dr Wan Azizah.

Khalid kini hanya ada sokongan 12 Adun daripada Umno, manakala 13 Adun PAS masih menunggu arahan pendirian rasmi parti pada Ahad ini.

Dr Wan Azizah juga mendakwa beliau sudah menghantar surat pada 11.30 pagi tadi untuk bertemu Sultan Selangor.

Dikepilkan sekali dalam surat tersebut adalah pengakuan bersumpah 30 Adun yang menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah untuk menggantikan Khalid.

“Saya juga memohon untuk mendapatkan pandangan Sultan Selangor sekiranya ada keperluan bagi Speaker memanggil sidang DUN Selangor untuk memuktamadkan proses pertukaran menteri besar,” katanya.

Sultan Selangor pada ketika ini bercuti dan dijangka akan kembali dalam tempoh dua minggu.

 

Kenyataan penuh Khalid Ibrahim:

 

Sokongan Perlu Diterjemah Melalui Undi Tidak Percaya Di Dewan Negeri Selangor

Kita maklum tentang pengumuman Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri Selangor.

Sungguhpun begitu, dakwaan ini hendaklah perlu diterjemahkan melalui proses undi tidak percaya di Dewan Negeri Selangor sebagaimana yang telah termaktub mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Proses ini penting memandangkan Kerajaan Negeri Selangor merupakan sebuah kerajaan yang mempunyai peraturan, undang-undang serta proses perundangan yang perlu dipatuhi, tidak hanya rakyat bahkan pemimpin dan juga pentadbir negeri ini.

Kita berpendirian bahawa sehingga proses itu berlaku, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan berjalan seperti biasa.

Kesemua usaha ini adalah tertakluk kepada kuasa DYMM Sutan Selangor.

 

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
14 OGOS 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.