Mufaraqah: 2 ADUN PAS Sokong Azizah, Akan Dipecat?

Kuala Lumpur – Tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari PAS yang menyatakan sokongan terbuka kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar petang tadi mendapat pelbagai reaksi dari pimpinan tertinggi parti itu.

Ekoran tindakan itu, ramai yang mendesak agar mereka berdua itu dipecat kerana berpecah dari kelompok besar PAS, desakan demi desakan dibuat ahli PAS agar kedua-dua mereka dipecat.

ADUN Hulu Klang, Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin hari ini bertindak menyertai sidang media Wan Azizah bagi memberikan sokongan majoriti dalam DUN Selangor.

Menurut sumber parti itu yang dihubungi SuaraTV sebentar tadi, tindakan kedua-dua ADUN itu jelas bertentangan dengan keputusan PAS untuk menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

“Ramai pimpinan di peringkat pusat dan negeri terkejut dengan tindakan mereka itu yang jelas bertentangan dengan keputusan Presiden, Mursyidul AM dan Majlis Syura serta mendesak parti memecat mereka yang ‘mufaraqah’ (memutuskan hubungan dengan pemimpin) itu.

Menurutnya PAS amat menitikberatkan konsep ‘wala’ (taat) bagi memastikan ahli dan pemimpian sentiasa patuh dan taat kepada pimpinan saf perjuangan dalam ruang lingkup Harakah Islamiyyah.

“Mesyuarat Lajnah Politik PAS pada malam ini akan turut bincangkan mengenai isu ini agar dapat diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS nanti.

“Tambah mengecewakan apabila kedua-dua ADUN itu seperti mencabar PAS dengan mengeluarkan kenyataan yang berbaur ugutan” ujarnya dengan nada kesal kepada SuaraTV.

Dalam kenyataannya di majlis pengumuman sokongan itu, Saari berkata, beliau sedia menghadapi sebarang tindakan dari PAS.

PAS Pusat pula dilaporkan telah mengarahkan PAS Selangor untuk mengemukakan laporan penuh berhubung tindakan dua ADUN itu.

“Saya telah menghubungi Pesuruhjaya PAS Selangor supaya memberi laporan tentang dua orang ini supaya kita dapat gambaran sebenar,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Terdahulu Mustafa di Facebook menulis “Bercanggah dengan pendirian parti. Siasatan akan dibuat terlebih dahulu…” tanpa menyatakan konteksnya.

Ia dipercayai merujuk kepada sokongan dua anggota dewan undangan negerinya kepada Azizah, iaitu Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Seterusnya Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini telah meminta agar semua ahli agar mematuhi arahan dan tidak membuat sebarang keputusan yang membelakangi parti.

Beliau juga meminta supaya semua ahli dapat bersabar menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS Ahad ini.

“PAS mengingatkan ahli parti mematuhi keputusan parti dan tidak membuat sebarang keputusan yang membelakangi keputusan jemaah.

“Parti akan mengadakan mesyuarat pada 17 haribulan nanti. Harap semua bersabar,” katanya petang tadi.

Selain itu, anggota jawatankuasa Pusat PAS, Nasrudin Hassan menganggap tindakan dua ADUN itu sebagai ugutan terhadap parti.

Beliau memuat naik gambar rakaman paparan (screenshot) di laman Facebooknya yang bertajuk “ADUN keluar parti jika PAS terus sokong MB” dengan kapsyen dengan doa agar PAS diselamatkan daripada pihak yang ingin merosakkan parti.

“Budaya politik ugut sudah merebak masuk dalam PAS. Apakah proses penyaringan sedang berlaku secara nature (semula jadi)?

“Semoga Allah selamatkan jemaah ini dari mereka yang ada hasrat merosakkannya.

“Jua Allah memberi kekuatan dan petunjuk kepada pemimpin jemaah ini agar dapat memimpin dengan baik. Ameen Ya Rabbal A’lamin,” kata Nasrudin (atas) yang juga bekas ketua Pemuda PAS.

Manakala Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dalam kenyataannya melalui Facebook mendesak Setiausaha Agung PAS memanggil kedua-dua Adun berkenaan segera.

Seterusnya PAS Terengganu turut menyifatkan tindakan mereka menyokong Wan Azizah itu membelakangkan parti.

“PAS Terengganu menyifatkan sebarang tindakan membuat keputusan sebelum mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang akan diadakan pada Ahad ini sebagai membelakangkan parti dan jemaah,” katanya kepada pemberita

“Pemuda PAS Malaysia mendesak Setiausaha Agong PAS Pusat memanggil segera kedua-dua ADUN yang terlibat kononya memberi sokongan kepada Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk mendapat penjelasan yang sebenar” katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, beliau menyokong dan akan mempertahankan Khalid untuk kekal sebagai menteri besar berikutan prestasi yang ditunjukkan sepanjang pentadbiran beliau memerintah Selangor serta tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Pandangan Abdul Hadi itu turut disokong oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Malah, badan tertingi parti itu, Majlis Syura Ulamak juga menetapkan pendirian agar Khalid dikekalkan jawatan itu sekiranya beliau tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan berhubung pecah amanah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.