KUALA LUMPUR – Pimpinan tertinggi DAP memutuskan untuk mengekalkan khidmat Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua sekiranya parti itu menang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Bagaimanapun, DAP memutuskan untuk membuat pembaharuan besar (major renewal) dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang mewakili DAP sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat Pulau Pinang untuk membentuk kerajaan negeri.
Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP yang bersidang semalam yang diketuai oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan dianggotai oleh Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, Timbalan Pengerusi, Gobind Singh, Naib Pengerusi, Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi, M. Kulasegaran yang secara sebulat suara menamakan Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal yang kedua.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP telah bermesyuarat pada malam tadi untuk memutuskan soal calon Ketua Menteri Pulau Pinang untuk Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
Jelas Menteri Pengangkutan itu, keputusan mesyuarat berkenaan telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau telah merestui keputusan tersebut sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
“Jawatankuasa ini yang merupakan kepimpinan tertinggi DAP juga memutuskan untuk membuat pembaharuan besar (major renewal) dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang mewakili DAP sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat Pulau Pinang untuk membentuk Kerajaan Negeri.
“Proses pembaharuan ini adalah satu keperluan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kepimpinan DAP di Pulau Pinang yang lebih muda, dinamik dan berupaya untuk menerajui dan memimpin Pulau Pinang ke arah yang lebih maju dalam semua bidang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau dalam kenyataan media, semalam.
Menurut Anthony, senarai penuh calon yang akan mewakili DAP dalam Pilihan Raya Negeri kali ini akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon yang seterusnya pada minggu hadapan.
“Semua calon DAP akan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum Hari Penamaan Calon,” katanya.