UMNO Lantik Annuar Sebagai Setiausaha Agung, Tengku Adnan Bendahari

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO lantikan mengikut Fasal 9.2.8 Perlembagaan UMNO dan juga Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO dan pimpinan negeri-negeri.

Menurut Zahid, ini merupakan langkah pertama UMNO menuju pembaharuan agar parti terus relevan dalam pentas politik tanah air.

“Selaras dengan pemilihan yang baharu, saya sebagai Presiden UMNO mengumumkan senarai Ahli Majlis Tertinggi UMNO lantikan mengikut Fasal 9.2.8 Perlembagaan UMNO dan melantik Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO dan pimpinan di negeri-negeri.

“Saya komited untuk merekayasa dan memperjuangkan kepentingan negara bersama dengan jajaran pimpinan baharu UMNO berlandaskan Perlembagaan Malaysia dan Piagam UMNO seperti terkandung dalam Perlembagaan UMNO sendiri,” jelasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tambah beliau, selesainya pemilihan parti baru-baru ini telah memperlihatkan bahawa UMNO kini lebih terbuka dan demokratik.

“UMNO telah melaksanakan pemilihan semua jawatan dalam parti dengan tertib dan lancar bulan lalu.

“Keterbukaan pemilihan ini mencatatkan sejarah pemilihan UMNO sejak 1987 dan memaparkan UMNO kini lebih terbuka, demokratik dan inklusif untuk semua,” ujarnya.

Antara yang dilantik ialah Tan Sri Annuar Musa menjadi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi Bendahari UMNO dan Ketua Penerangan UMNO pula ialah Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Bagi jawatan Setiausaha Kerja UMNO pula dilantik Datuk Mohd. Somali Anuar.

Bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO ialah;

1- Datuk Norliza Abdul Rahim

2- Shahril Sufian Hamdan

3- Nurul Amal Mohd Fauzi

4- Datuk Seri Anifah Aman

5- Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman

6- Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib

7- Datuk Johan Abdul Aziz

8- Datuk Azizah Mohd.Dun. – MalaysiaGazette

2 thoughts on “UMNO Lantik Annuar Sebagai Setiausaha Agung, Tengku Adnan Bendahari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.