Syarikat Parasarana Akur Keputusan Kecilkan Saiz Projek Untuk Kurangkan Kos LRT3

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) akur dengan arahan Kementerian Kewangan yang mahu mengurangkan kos projek LRT3 sebanyak 47 peratus atau RM15 bilion kepada RM16.6 bilion berbanding RM31.65 bilion sebelum ini menerusi pembatalan pembinaan beberapa stesen yang diramalkan mempunyai penumpang yang rendah.

Syarikat tersebut dalam kenyataannya berkata, stesen-stesen tersebut akan dibina atau stesen-stesen sedia ada akan dinaik taraf pada masa hadapan apabila permintaan semakin meningkat.

“Disebabkan oleh kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan, Prasarana menyokong keputusan untuk membatalkan stesen-stesen yang diramal mempunyai kadar penumpang yang rendah bagi mengurangkan lagi kos.

“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga telah menyokong sepenuhnya cadangan tersebut yang melibatkan pengurangan stesen yang mempunyai penumpang yang rendah.

“Bagaimanapun, terdapat syarat bahawa stesen baharu akan dibina atau stesen sedia ada akan dinaik taraf apabila permintaan meningkat,” jelasnya.

Menurut Prasarana, pada asalnya kabinet pada tahun 2015 telah meluluskan penerbitan bon jaminan kerajaan sebanyak RM10 bilion bagi pembinaan LRT3.

Bon yang diluluskan pada 30 Mac 2015 itu hanya mengambil kira kos yang melibatkan kontrak pakej kerja dan pembekalan bas perantara sebanyak RM9 bilion di samping pengambilan alih tanah sebanyak RM1 bilion.

Prasarana pada ketika itu sedar bahawa kos sebanyak RM10 bilion bagi membiayai projek LRT3 adalah tidak mencukupi jadi satu pertambahan kos yang besar perlu diluluskan bagi memastikannya dapat disiapkan.

Bon Jaminan Kerajaan pertama itu tidak merangkumi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tidak lagi dikenakan ketika ini; Fi kepada Rakan Pelaksana Projek (PDP); Kos Boleh Dikembalikan PDP; Kecemasan; Kos termasuk sumbangan kepada syarikat utiliti; kos kakitangan dan sebagainya; Perkhidmatan Rundingan Pemilik contohnya laporan Pemeriksaan Jurutera Bebas kepada SPAD; Kos Awal; Sewaan Tanah; Kos Tuntutan dan Faedah semasa pembinaan.

Jadi, pada 30 Mac 2018, Prasarana secara rasminya telah memohon kelulusan untuk menerbitkan bon Jaminan Kerajaan tambahan sebanyak RM22 bilion dengan unjuran kos akhir keseluruhan LRT3 akan meningkat kepada RM31.65 bilion.

Rabu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan projek LRT3 akan diteruskan tetapi perlu dikurangkan hamper separuh daripada kosnya.

Ini melibatkan beberapa langkah merasionalisasi projek tersebut termasuk mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api 6-koc kepada 22 set kereta api 3-koc kerana menurutnya ia sudah memadai untuk menampung jumlah penumpang yang dijangkakan menggunakan perkhidmatan tersebut sehingga tahun 2035.

Selain itu, saiz pembinaan pangkalan kereta api LRT akan dikurangkan berikutan bilangan kereta api LRT yang telah dikecilkan serta mengubahsuai saiz dan reka bentuk stesen LRT mengikut piawaian jajaran LRT Kelana Jaya dan bukannya mengikut saiz stesen MRT yang lebih besar.

Pembinaan lima stesen LRT juga terpaksa dibatalkan yang melibatkan stesen Lien Hoe, Temasya, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Kerajaan juga menurut Guan Eng membuat keputusan untuk membatalkan pembinaan terowong sepanjang dua kilometer untuk laluan LRT dan stesen LRT bawah tanah di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam.

Selain itu katanya, langkah turut diambil dengan melanjutkan tempoh masa untuk menyiapkan projek LRT3 dari tahun 2020 ke 2024 untuk mengurangkan lagi kos pembinaan yang asalnya dinaikkan untuk mempercepatkan tempoh siap projek itu. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.