Jangan Semberono Desak Tutup Sekolah Tahfiz – PITAS

KLANG – Pihak yang mahu sekolah tahfiz di negara ini ditutup perlu membuat kajian mendalam mengenai perkembangan semasa pendidikan tahfiz dan bukannya semberono meminta institusi tersebut ditutup.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor (PITAS), Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, sekolah tahfiz sekarang tidak sama seperti pusat tahfiz dahulu apabila telah berjaya melahirkan pelajar berkemampuan dalam semua bidang pekerjaan.

“Pihak saya dan beberapa institusi tahfiz bersama Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan-jabatan agama Islam negeri lain akan mengadakan perbincangan bagi mewujudkan satu Dasar Pendidikan Tahfiz Negara.

“Ia bagi mencari penyelesaian isu-isu dibangkitkan pihak tertentu dan memantapkan lagi institusi tahfiz di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima kehadiran pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan) di Pusat Tahfiz Klang, di sini semalam.

Menurut Muhamad Hafiz, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara adalah penyelesaian kepada segala isu yang dibangkitkan pihak yang mahu institusi agama Islam itu ditutup.

“Isu yang disebut isu terpencil. Di mana-mana ada kekurangan, tak pernah ada orang yang sempurna, sebab itu dengan mewujudkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara ini ia akan dapat memperbaiki segala kelemahan yang berlaku, “katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan 99 Kesan, Abdul Rahman Nordin pula berkata, sebagai umat Islam perkara yang memartabatkan agama perlu disokong dan semua pihak perlu membantu membaiki kelemahan yang ada, bukannya memberi cadangan supaya sekolah aliran tahfiz ditutup.

“Jika dikatakan silibus pelajaran itu tidak betul, duduk bincang perbetul, jika dikatakan pusat tahfiz mundur, duduk bincang selesaikan masalah kemunduran ini, jika pusat tahfiz ini tidak mempunyai kewangan yang cukup, bincang macam mana kerajaan negeri boleh bantu atau kerajaan pusat boleh membantu untuk menjana pendapatan agar pusat-pusat tahfiz ini boleh berdiri dengan sendiri,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.